Anda di sini

Kafe siber haram: Polis rampas 16 unit komputer

Advertisement

SERAH TUGAS: Hipeni (kiri) menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada Rusihan sambil disaksikan oleh Madang di Bintulu semalam.

BINTULU: Polis merampas 16 unit komputer dari sebuah premis kafe siber di kawasan Jalan Abang Galau, di sini dipercayai digunakan bagi perjudian siber dalam Ops Dadu Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Madang Usat berkata serbuan diketuai In­spektor Lukman Hakim dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) berjaya menahan dua wanita dan seorang lelaki dipercayai penjaga premis.

“Polis turut menahan tiga lelaki tempatan dan tujuh lelaki warga asing berumur antara 16 hingga 47 tahun ketika itu sedang leka bermain judi,” katanya pada sidang media selepas majlis ringkas serah tugas jawatan Ketua Po­lis Balai Tanjung Kidurong, Sarjan Hipeni Mahdili dan penggantinya, Sarjan Rusihan Ahmad di sini semalam.

Dalam serbuan itu, turut menemukan wang tunai RM146 dipercayai digunakan sebagai wang pertaruhan dalam kegiatan haram itu.

Semua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Pusat Bintulu bagi tindakan selan­jutnya dan kes itu disiasat serta-merta dalam Seksyen 4B (A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dalam perkembangan berkaitan, Madang mem­beritahu polis bersama-sama Bahagian Penguatkuasaan SESCo memotong bekalan elektrik di sembilan buah premis yang menjalankan kegiatan judi siber di Pusat Komersil Parkcity pada hari sama.

Terdahulu, Madang ber­harap agar warga polis khu­susnya yang bertugas di Balai Polis Tanjung Kidurong berusaha mengekang kegiatan jenayah yang berlaku tidak mengira masa.

Katanya, setiap anggota harus sentiasa memastikan keselamatan orang awam adalah tanggungjawab serta keutamaan buat mereka bagi memastikan bandar Bintulu selamat didiami.

“Sebaik-baiknya, PDRM Bintulu khususnya di Balai Polis Tanjung Kidurong sentiasa berkongsi maklumat mengenai apa sahaja kegia­tan jenayah berlaku supaya segala aktiviti jenayah dapat dibanteras dengan mudah,” katanya.

 

Advertisement