Anda di sini

JKM Lawas terus mendekati rakyat

Advertisement

MIRI: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Lawas mengorak langkah mendekati rakyat yang memerlukan khidmat dengan menubuhkan pasukan sukarelawan perkhidmatan dari rumah ke rumah.

Jurucakapnya memberitahu, penubuhan pasukan itu merupakan satu usaha murni JKM Lawas membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas melalui perkhidmatan yang lebih sempurna dan menyeluruh.

“Melalui pasukan ini, JKM Lawas mampu memberi perkhidmatan lebih berkesan melihat dan menjaga golongan ini. Melalui pasukan ini, seorang sukarelawan akan menjaga empat orang OKU atau warga emas di kampung atau kawasan terpilih.

“Sukarelawan berkenaan akan memberi khidmat selama sejam setiap hari dengan melawat, memberi dorongan, menolong melakukan kerja harian di rumah, memastikan mereka memakan ubat mengikut masa yang ditetapkan dan pertolongan yang sepatutnya dalam tempoh lawatan,” katanya.

Pegawai JKM Lawas, Khairul Pungut berkata beliau berterima kasih dengan sambutan yang menggalakkan daripada sukarelawan dan berharap perkhidmatan itu dapat diperluaskan ke pelbagai kawasan pedalaman di Lawas.

Katanya, setakat ini mereka telah mendaftar 10 orang sukarelawan dari kawasan Sundar, Trusan, Lawas Damit, Merapok dan bandar Lawas.

Beliau berharap pasukan mereka akan mengutamakan kualiti bukannya kuantiti semata-mata.

Sementara itu, lawatan itu harus dilakukan sekali seminggu dan mempunyai rekod serta laporan kepada JKM.

“Ini merupakan titik permulaan bagi Lawas dan Limbang begitu berjaya sehingga menjadi pasukan yang terbaik di negeri ini,” katanya.

Hadir sama pasukan sukarekawan Lawas dan beberapa pegawai JKM Bahagian Limbang diketuai Asiah Seruji, Penolong Pengarah Bahagian, William Janda Peter, Pegawai Psikologi dan Penyelaras Seksyen Pembangunan Komuniti dan dua orang sukarelawan Limbang yang berkidmat cemerlang, Masnah Meramit dan Sakoi Rawi.

Advertisement