Anda di sini

Graduan harus punyai kemahiran holistik

Advertisement

TAHNIAH: Naroden (lima kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan PMSB disaksikan yang lain di Miri semalam.

MIRI: Graduan pada masa ini harus mempunyai kemahiran holistik untuk menempah kejayaan pada masa depan lebih cerah.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera), Datuk Mohd Naroden Majais berkata mereka harus dilengkapi dengan pelbagai latihan sebelum mula berjinak-jinak dengan alam pekerjaan.

“Pelajar atau graduan harus mempunyai kemahiran dan latihan yang pelbagai untuk berjaya dalam hidup mereka,” katanya pada majlis Penyampaian Sijil dan Tamat Kursus General Purpose Marine Rating Sesi 2014 kepada seramai 62 graduan Pelita Maslaut Sdn Bhd (PMSB) di sini semalam.

Menurutnya, cabaran yang berbeza memerlukan mereka untuk sentiasa bersedia dengan pelbagai kemungkinan dan cabaran.

“Alam pekerjaan sekarang sangat jauh berbeza berbanding dahulu, sebab itu persediaan dan latihan turut berbeza,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Muda Perancangan Sumber berkata, salah satu contoh adalah peralatan di alam pekerjaan pelbagai bidang sekarang lebih bercirikan teknologi moden dan canggih.

“Ini tidak terkecuali dalam bidang perkapalan yang juga memerlukan kemahiran tinggi untuk mengendalikan peralatan tertentu,” ujarnya sambil memberitahu bahawa bidang pekerjaan menjurus kepada pendapatan tinggi.

“Itu semua juga bakal melonjakkan ekonomi keluarga, masyarakat, negeri dan negara secara keseluruhannya,” kata beliau.

Turut hadir Pengarah Urusan PMSB Masni Amit, Pengurus Besar PMSB Miri Mohamad Safrin Masni dan Pengurus Besar PMSB Sibu, Mohamad Nazim Masni.

Advertisement