Anda di sini

Forum impak piawaian ISO, TQM ke atas produk, kualiti

Advertisement

PENGHARGAAN: Dr Sahol (kiri) menyampaikan cenderahmata kepada Adenan (tengah) sebagai tanda penghargaan disaksikan Dr Jamil. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak dengan kerjasama Asia Pacific Business Excellence Standard (APBEST) Academy akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Mengenai ISO & TQM Ke-18 (18-ICIT) dari 21 hingga 23 April ini di sebuah hotel terkemuka di sini. 

Bertemakan ‘Enhancing Growth and Productivity Through Best Practices in Total Quality Management (TQM),’ persidangan ini akan memberi tumpuan terhadap bagaimana amalan terbaik dalam portfolio piawaian ISO dan TQM akan memberi impak terhadap trend kualiti dalam ekonomi baharu.

Sempena dengan 18-ICIT yang bakal diadakan itu, Naib Canselor UiTM Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar semalam mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem bagi menjemput beliau merasmikan persidangan tersebut.

Turut serta pada kunjungan yang berlangsung di Pejabat Ketua Menteri, Tingkat 22, Bangunan Wisma Bapa Malaysia semalam ialah Rektor UiTM Sarawak Prof Datuk Dr Jamil Hamali.

Bercakap lebih lanjut mengenai 18-ICIT, ia bertujuan menyediakan satu forum dalam mengenal pasti pembangunan kontemporari dalam teori-teori dan amalan TQM dari seluruh pelosok dunia, selain berkongsi pengalaman.

“Ia juga bertujuan mewujudkan kesedaran terhadap pelaksanaan piawaian ISO dan TQM ke arah meningkatkan pembangunan dan pengeluaran produk atau penyampaian perkhidmatan daripada sesebuah organisasi melalui amalan terbaik,” kata Dr Sahol.

Persidangan ini akan dipengerusikan bersama Ketua Pegawai Eksekutif HK5SA & APBEST Academy Prof Sam Ho dan Rektor UiTM Sarawak Dr Jamil dan dijangka dirasmikan oleh Ketua Menteri pada hari pertama persidangan.

Selain itu, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morhsidi Abdul Ghani, Naib Canselor UiTM dan Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional Prof Datuk Dr Mashkuri Yaacob turut akan hadir untuk menyampaikan ucaptama.

Untuk makluman, persidangan ini telah dianjurkan hampir setiap tahun di pelbagai negara sejak 1996 bermula di Leicester Business School, De Montfort University, United Kingdom manakala tahun lepas 17-ICIT telah dianjurkan di University Technology Sydney, Australia.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah untuk 13-ICIT (2008) dan 15-ICIT (2011) di Kuala Lumpur dan pada tahun 2014, Sarawak dengan bangganya dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi persidangan antarabangsa ini.

Untuk keterangan lanjut dan maklumat penuh mengenai 19-ICIT boleh diperolehi melalui laman sesawang http://www.icit18.net atau http://www.hk5sa.com/icit/.

Advertisement