Anda di sini

Caj 20 sen beg plastik untuk kebajikan dan kehijauan Miri

Advertisement

DERMA: Lawrence menyampaikan derma kempen kepada wakil Kompleks Hamidah di Pusat Sehenti MBM semalam.

MIRI: Hanya 14 pasar raya di sini layak mengenakan caj 20 sen untuk beg plastik yang akan dimanfaatkan membantu badan kebajikan dan menggerakkan kempen kitar semula Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Pasar raya tersebut ialah Boulevard Shopping Mall, Boulevard Imperial Mall, E- Mart Supermarket, Sin Liang Supermarket, Servay Hypermarket, Servay Morsjaya, Servay Taman Tunku, Giant Supermarket Bintang Megamall, Giant Hypermarket Permy Mall, Ng Siang Hup, Lyn Min Perdagangan, GK Supermarket, Pick & Save Mart dan Ta Kiong Merdeka Mall.

Datuk Bandar MBM, Lawrence Lai mengingatkan penduduk di sini bahawa caj dikenakan adalah untuk Kempen ‘Katakan Tidak Kepada Beg Plastik’ yang telah dilancarkan sejak Mei 2010.

“Caj yang dikenakan untuk beg plastik oleh pasar raya-pasar raya lain adalah untuk kegunaan mereka sendiri. Mereka tidak menyumbang untuk tabung kita,” katanya di sini semalam.

Kompleks Kebajikan Hamidah semalam menerima sejumlah RM1,867.60 hasil jualan beg plastik daripada pelanggan-pelanggan di e-Mart.

Rumah Jagaan Warga Emas Miri pula menerima sejumlah RM2,285.50 daripada Sin Liang Supermarket.

Sebelum ini, Sin Liang turut menyumbang sejumlah RM2,417.50 kepada Pusat Jagaan Sunflower Bulan Sabit Merah.

e-Mart turut menyumbang sejumlah RM1,118.50 kepada Rumah Jagaan Kanak-Kanak Methodist Miri.

Miri merupakan bandar raya pertama di Malaysia yang tidak membenarkan penggunaan beg plastik pada setiap hari.

Objektif utama kempen itu adalah untuk mengurangkan penggunaan beg plastik yang memberi kesan negatif terhadap alam sekitar dalam tempoh jangka panjang.

Menerusi kempen ini, pelanggan dikenakan bayaran 20 sen untuk setiap beg plastik dan hasil jualan akan didermakan kepada badan kebajikan oleh pengusaha dan tabung kempen kitar semula bawah Jawatankuasa Alam Sekitar dan Budaya Hijau.

MBM turut melancarkan kempen ‘Katakan Tidak Kepada Polisterin’ sebagai usaha merealisasikan impian Miri sebuah bandar raya hijau dan sihat.

Advertisement