Anda di sini

Pemandu bas sekolah patah kaki

Advertisement

Keadaan bas sekolah dan Toyota Innova yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Jawa

LABUAN: Seorang pemandu bas sekolah wanita patah kaki selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di persimpangan lampu isyarat di Jalan Kampung Jawa, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, pemandu wanita itu yang dalam perjalanan menghantar tiga pelajar ke sebuah sekolah menengah berlanggar dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) persendirian jenis Toyota Innova.

Menurut Ketua Polis Labuan Superintenden Adzhar Othman, kemalangan itu berlaku selepas lampu isyarat tidak berfungsi yang menyebabkan pemandu bas sekolah yang datang dari arah pusat bandar mengalami kecederaan.

Katanya, pemandu Toyota Innova yang juga seorang wanita sedang dalam perjalanan dari arah Jalan Kampung Jawa menghala ke Jalan Tanjung Purun.

“Berikutan pelanggaran itu, kenderaan MPV itu terpusing lalu melanggar tiang lampu isyarat sebelum terbalik namun pemandunya bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu van sekolah mengalami patah kaki manakala semua pelajar sekolah menengah yang dibawanya hanya cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Nukleus Labuan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,“ katanya.

Adzhar menasihatkan agar pengguna jalan raya tidak memandu laju atau secara tidak berhemah semasa di jalan raya.

“Pengguna jalan raya seharusnya memandu dengan penuh toleransi dan bertimbang rasa, lebih-lebih lagi semasa waktu puncak di mana keadaan lalu lintas yang sesak,“ katanya.

 

Advertisement