Anda di sini

Pelancong China, pekerja resort diculik di Pulau Singgahmata

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang pelancong dari China dan seorang pekerja resort berasal dari Filipina dilarikan oleh sekumpulan lelaki di sebuah resort di Pulau Singgahmata, bersebelahan Pulau Bum-Bum Semporna, dekat sini, malam kelmarin.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Mohammad Mentek mengesahkan kejadian itu yang berlaku pada kira-kira jam 10.30 malam.

“Kita menyerahkan perkara ini kepada polis untuk membuat siasatan lanjut dan sete-rusnya memberi laporan penuh,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini, semalam.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dalam ke-nyataannya semalam mahu segala sumber digembleng bagi menyelesaikan kes penculikan dua orang di Semporna itu.

Beliau berkata, pihak polis dan Ketua Pengarah ESSCOM telah memberi penera-ngan kepadanya berhubung kes itu.

“Saya telah mengarahkan pihak berkaitan untuk meng-gembleng segala usaha ke arah menyelesaikan kes ini,” kata-nya.

Musa juga berkata, keselamatan perlu diperketatkan terutama menerusi ESSCOM.

“Kita mesti berwaspada setiap masa bagi memastikan keselamatan kita tidak dikompromi,” katanya.

Sementara itu di Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia telah menghubungi pihak berkuasa Filipina dalam usaha membantu mengesan seorang pelancong wanita China dan seorang pekerja resort warga Filipina yang diculik itu.

Beliau menyifatkan kejadian penculikan itu sebagai serius dan telah mengarahkan semua agensi penguatkuasaan yang relevan supaya melihat kes itu dengan serta-merta.

“Keutamaan kami adalah bagi memastikan keselamatan tebusan,” kata Najib kepada wartawan Malaysia sejurus selepas sidang media bersama Perdana Menteri Australia, Tony Abbot berhubung misi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di selatan Lautan Hindi.

Najib tidak menolak kebarangkalian bahawa sesetengah pihak mahu mencemarkan hubungan antara Malaysia dan China berikutan penculikan tersebut adalah bertepatan dengan kehilangan pesawat MH370.

Perdana Menteri berkata semua usaha untuk mengesan mangsa penculikan itu akan berterusan dan mengenal pasti mereka yang terbabit dalam kejadian itu mungkin mengambil sedikit masa.

Sebanyak 153 daripada 227 penumpang pesawat Boeing 777-200ER itu yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lepas terdiri daripada rakyat China.

Najib tiba di sini kelmarin untuk rangka lawatan kerja dua hari ke Australia bagi meninjau lebih dekat misi pencarian MH370 yang sedang dilakukan di bandar raya barat Australia ini. — Bernama

Advertisement