Anda di sini

Lelaki maut dalam nahas di Kionsom

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan terbunuh selepas van yang dipandunya terbabit nahas dengan sebuah Toyota Hilux di Jalan Kionsom, Inanam malam kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Lukas Majuking, 42, dari Kampung Kionsom Inanam itu meninggal dunia serta merta di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk di bahagian dada dalam kemalangan kira-kira jam 12.20 malam terbabit.

Berdasarkan siasatan awal, Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki warga asing berusia 40 tahun itu dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke Pekan Inanam dari kawasan Kionsom.

Bagaimanapun setibanya di lokasi insiden, tidak semena-mena Hilux yang dipandu hilang kawalan sebelum merempuh van mangsa di lorong bertentangan.

Mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut sementara pemandu Hilux terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu.

Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu Deputi Superintenden Peter Umbuas ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan kes masih giat dilaksanakan.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis juga meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden itu untuk tampil segera memberikan bantuan siasatan kes,” katanya di sini kelmarin.

 

Advertisement