Anda di sini

Kastam ‘pintas’ penyeludup

Advertisement

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas sebanyak 47,500 bungkus rokok jenama Era yang bernilai hampir RM600,000 dalam satu serbuan di Jalan Nosoob, Kobusak, Penampang baru-baru ini.

Pengarahnya Datuk Janathan Kandok berkata, dalam insiden kira-kira jam 3.15 petang pada 1 April lalu itu, sepasukan anggota menerima maklumat berhubung kehadiran sebuah lori jenis Isuzu bermuatan 1.5 tan dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, ketika diperiksa lori berkenaan ditinggalkan tanpa sebarang pemandu (dipercayai melarikan diri) ketika serbuan dilakukan.

Tambahnya, rokok yang dirampas adalah 5,000 bungkus Era Menthol, 27,500, Era Premium dan Era Black 15,000 bungkus dipercayai belum lulus kastam bernilai RM104,500 dengan cukai terlibat RM486,020.

“Bertindak di atas maklumat diterima, sepasukan anggota penguatkuasa melakukan pemeriksaan ke atas lori terbabit yang ditinggalkan di tepi jalan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita menemui sebanyak 47,500 bungkus rokok Era Menthol, Era Premium dan Era Black yang diletakkan di bahagian belakang lori terbabit.

“Tiada tangkapan setakat ini namun kita berjaya menemui petunjuk berikutan rampasan yang dilakukan ke atas lori berkenaan,” katanya sambil menambah, siasatan kes akan dilakukan mengikut Seksyen 135 (d) Akta Kastam 1967.

Janathan menambah, siasatan awal mendapati kesemua bahan rampasan itu dipercayai akan dipasarkan ke seluruh negeri Sabah dan JKDM kini sedang giat mengesan mana-mana suspek yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan itu.

Rampasan itu adalah ketiga terbesar buat tahun ini yang berjaya dilakukan oleh JKDM Sabah selain kes di Keningau dan Tawau tempoh hari.

Beliau berkata, nilai anggaran bagi ketiga-tiga tangkapan terbabit hampir mencecah RM6 juta selepas mengambil kira harga pasaran rokok kontraban itu dan siasatan lanjut masih dilakukan.

“Kastam tidak sesekali akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat sama ada dalam urusan penjualan, pengedaran dan pemilikan rokok-rokok seludup.

“Mana-mana individu terlibat boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 135 (d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman tidak kurang 10 kali ganda amaun duti kastam atau tidak lebih daripada 20 kali ganda amaun duti kastam atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Wisma Kastam, di sini kelmarin. Hadir sama, Timbalan Pengarah JKDM Sabah Hamza Sundang.

 

Advertisement