Anda di sini

Cabaran Assri berakhir di tangan pemain Sepanyol

Advertisement

KUCHING: Cabaran perse­orangan negara Mohd Assri Merzuki pada Kejohanan Tenis ITF Men’s Future US$15,000 berakhir setelah beliau tumpas 7-5, 6-1 di tan­gan pemain Sepanyol, Carlos Boluda-Purkiss pada saingan suku akhir semalam.

Assri yang berasal dari Sarawak mempamerkan aksi cemerlang sebelum akur dengan kehebatan Carlos pada set pertama dengan 7-5.

Pada set kedua, Assri seakan hilang fokus dan banyak melakukan kesilapan mudah.

Ia memberi peluang ke­pada Carlos yang juga pilihan ketujuh kejohanan mendom­inasi permainan dan meleng­kapkan kemenangan 6-1.

Hasrat Assri untuk mene­bus kehampaan dalam acara beregu juga tidak kesampa­ian apabila gandingannya dengan Ivo Minar terkan­das dalam saingan separuh akhir.

Assri-Ivo tunduk 6-3, 6-3 di tangan wakil dari Taiwan Chih-Jen Ho dan Jui-Chen Hung.

Pasangan dari Taiwan itu akan menentang Sonchat Ratiwatana-Sanchai Rati­watana pada perlawanan akhir hari ini setelah beregu Thailand itu menewaskan Ivo Klec-Karunuday Singh 6-7, 6-2, 10-7.

Turut tersingkir rakan senegara Assri, Syed Mohd Agil Syed Naguib yang tum­pas 1-6, 6-2, 1-6 di tangan Jui-Chen dalam perseoran­gan lelaki.

Sementara itu, pilihan per­tama dari Autralia Benjamin Mitchell mara ke suku akhir setelah mudah menewaskan Punn Bodhidatta dari Thai­land 6-1, 6-1.

Turut mara pemain Jepun Shuichi Sekiguchi yang me­nundukkan Sonchat Ratiwa­tana 6-4, 6-3.

Manakala Sanchai Rati­watana berjaya mengatasi pemain India Christopher Marquis dengan 6-3, 6-4.

Seorang lagi wakil dari Sepanyol Roberto Ortega-Olmeda yang juga pilihan ketiga berjaya menewaskan Chih-Jen Ho 6-2, 6-2 untuk turut mara ke suku akhir.

Pilihan keenam dari India Karunuday Singh terpaksa bermain dalam tiga set se­belum berjaya menewaskan pemain Vietnam Nam Hoang Ly 3-6, 7-6, 6-2.

Ivo Klec dari Slovakia pula tidak berdepan masa­lah mengetepikan cabaran Congsup Congcar dari Thai­land dengan 6-1, 6-3.

Advertisement