Anda di sini

PKR akan cabar larangan kemasukan

Advertisement

Akan fail semakan semula kehakiman, cabar larangan empat pemimpinnya masuki Sarawak

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak akan memfailkan semakan semula kehakiman bagi mencabar larangan terhadap empat pemimpin parti itu di peringkat pusat daripada memasuki negeri ini semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian baru-baru ini.

Empat pemimpin PKR yang dilarang memasuki Sarawak ialah Naib Presidennya Tian Chua, Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi Raifizi Ramli.

Pengerusinya Baru Bian berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tian dan Raifizi di pejabat Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Sibu baru-baru ini.

“Kami telah membincangkan aspek undang-undang dan kami buat masa ini cuba mendapatkan kenyataan daripada keempat-empat pemimpin terbabit seterusnya menyediakan dokumentasi.

“(Kali ini) kami bernasib baik kepada undang-undang yang telah dipinda yang membolehkan kami memfailkan semakan semula kemudian.

“Sebelum ini, semakan semula kehakinan hanya 40 hari tetapi sekarang dipanjangkan kepada tiga bulan.

“Sekurang-kurangnya ada masa untuk kami membuat persiapan memandangkan buat masa ini, kami sangat sibuk dengan pemilihan perwakilan parti,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan yakin semakan semula kehakiman boleh dibuat memandangkan kes itu sangat kukuh.

“Ketua pembangkang jelas mahu memasuki Sarawak bagi tujuan tunggal untuk menjalankan aktiviti politik yang sah, seperti yang dibenarkan oleh Akta Imigresen,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, PKR Sarawak katanya mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim kerana mencadangkan agar rakyat Malaysia mengundi berdasarkan kaum.

Baru berkata cadang Shahidan itu sangat berbahaya dan ia menggambarkan rakyat negara ini ‘benar-benar kembali ke zaman sebelum ini’.

Tambahnya, PKR sangat bimbang dengan perkembangan budaya ekstrem yang ditunjukkan oleh pihak tertentu di negara ini kerana tindakan mereka amat bertentangan dengan status Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan kesederhanaan.

Advertisement