Anda di sini

Perjumpaan dengan anggota keluarga penumpang warga China berjalan lancar

Advertisement

BANGI: Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman (gambar) menyifatkan perjumpaannya dengan 29 anggota keluarga penumpang warga China pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 semalam sebagai sesuatu yang baik.

Azharuddin berkata semasa perjumpaan tertutup dua jam itu, beliau dan beberapa agensi berkaitan dapat menjawab persoalan yang dibangkitkan anggota keluarga terbabit.

“Ia berjalan dalam suasana yang baik dan kami menjawab semua soalan yang dibangkitkan dan anggota keluarga (nampaknya) berpuas hati setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan itu yang berlangsung di Hotel Bangi-Putrajaya di sini semalam.

Ketika diminta mengulas lanjut berhubung perjumpaan itu, Azharuddin berkata beliau tidak dapat mendedahkan sebarang butiran tentang perjumpaan itu namun beliau mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung perjumpaan itu petang semalam.

Perjumpaan semalam dihadiri wakil khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting, duta besar China di Malaysia Huang Hui Kang, pasukan penyiasat termasuk wakil Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada jam 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama. — Bernama

Advertisement