Anda di sini

Penumpang MH370 ‘bersih’ daripada empat elemen

Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis mendapati semua penumpang pesawat Malaysia yang hilang ‘bersih’ daripada elemen rampas, sabotaj dan masalah psikologi dan peribadi, tetapi masih menjalankan siasatan terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang, kata Ketua Polis Negara  Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, siasatan terhadap 227 penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 itu mendapati mereka ‘bebas’ daripada empat elemen itu.

“Mereka didapati bersih daripada empat (elemen) itu. Ia (adalah) menurut prosedur (siasatan) kami sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pemantapan kualiti pasukan polis di sini semalam.

Beliau berkata polis masih menjalankan siasatan berdasarkan empat elemen itu terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang.

Khalid berkata setakat ini polis telah merekodkan kenyataan daripada lebih  170  individu berhubung kehilangan pesawat Boeing 777-200ER itu dan menurutnya, polis  akan merekodkan lebih banyak kenyataan.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada  imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas,  kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada  12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi  hari sama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac,  17 hari selepas kehilangan pesawat itu, Penerbangan MH370 ‘berakhir di selatan Lautan Hindi.’

Khalid berkata, polis tidak akan mendedahkan sebarang maklumat hasil siasatan  insiden itu kerana ia akan menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

“Maafkan saya, terdapat perkara yang kami tidak boleh dedahkan kepada anda;  bukan saya tidak mahu dedahkannya kepada anda tetapi kami tidak boleh berbuat  demikian.

“Kerana ia adalah penyiasatan jenayah, sedang berjalan; kami belum  memuktamadkan segalanya dan kami masih menunggu laporan daripada pakar di luar  negara dan dalam negara.

“Anda perlu faham. Saya fikir kami amat konsisten (tentang siasatan). Siapa  tahu, mungkin akan ada pendakwaan kemudiannya. Jadi, ini akan menjejaskan kes  pendakwa raya sekiranya kami mula mendedahkan hasil penyiasatan kami,” katanya. – Bernama

Advertisement