Anda di sini

Pembangkang perlu kemuka notis jika mahu taklimat khas di Parlimen

Advertisement

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen pembangkang perlu mengemukakan notis atau surat permohonan jika mahu taklimat khas mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 diadakan di Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata surat permohonan itu perlu untuk dibawa ke perhatian Kementerian Pengangkutan, sekaligus untuk makluman pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Ini kerana taklimat berhubung insiden pesawat MH370 hanya boleh diberikan oleh Hishammuddin, katanyan dalam sidang berita di ruang legar Parlimen di sini, semalam.

Shahidan berkata anggota Parlimen pembangkang telah meminta taklimat khas itu diadakan pada minggu depan, namun sehingga semalam, beliau belum menerima surat atau notis berhubung hasrat mereka itu.

Beliau turut menyelar tindakan pihak pembangkang melempar pelbagai tuduhan dan menyalah kerajaan kerana tidak mengadakan taklimat khas itu, yang didakwa dijadualkan kelmarin.

“Saya amat berharap pihak pembangkang tidak mempolitikkan isu ini kerana tiada apa yang perlu disembunyikan oleh kerajaan berkaitan MH370,” katanya.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. — Bernama

Advertisement