Anda di sini

Misi mencari MH370 meliputi kawasan 221,000 km persegi pada Rabu: AMSA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Misi pencarian pesawat Malaysia yang hilang masuk hari ke-26 semalam, dengan 10 pesawat dan sembilan kapal berusaha mengesan pesawat Boeing 777-200 itu yang dipercayai jatuh di selatan Lautan Hindi.

Pihak Berkuasa Keselamatan Australia (AMSA), dalam kenyataan di laman webnya semalam, berkata pasukan mencari membabitkan sembilan pesawat tentera manakala sebuah jet awam akan berperanan sebagai penyampai komunikasi.

Misi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 itu dijalankan di barat laut Perth, Australia, iaitu di 1,504 km, paling dekat dengan kawasan pencarian di Lautan Hindi.

AMSA berkata pencarian semalam akan meliputi kawasan 221,000km persegi dan keadaan cuaca di kawasan pencarian dijangka buruk, keadaan mendung, kabus dan ribut petir sekali-sekala, akan menjejaskan jarak penglihatan.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada jam 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari sama.

Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya – selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan – di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi. — Bernama

Advertisement