Anda di sini

Doktor perlu ditemani orang ketiga bila rawat pesakit berlainan jantina

Advertisement

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini semalam mengekalkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan terhadap seorang doktor yang didapati bersalah mencabul kehormatan pesakitnya, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Noor Azian Shaari dalam penghakimannnya berkata: “Saya mendapati jika seorang doktor mahu merawat pesakit yang berlainan jantina, mereka perlu ditemani orang ketiga.

“Kes ini diibaratkan seperti harapkan pagar, pagar makan padi kerana perayu sebagai seorang doktor seharusnya memberikan rawatan kepada pesakitnya namun melakukan perkara sebaliknya,” kata Noor Azian.

Tertuduh Dr Ahmad Hisham Ahsan, 44, menghadapi dua pertuduhan.

Dalam pertuduhan pertama, beliau didakwa mencabul kehormatan pesakitnya seorang remaja perempuan 19 tahun dengan memegang dadanya di wad sebuah hospital di Kajang antara jam 3.15 pagi hingga 4 pagi pada 25 Dis 2011.

Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa mencabul kehormatan mangsa sama dengan memegang kemaluannya pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Dr Ahmad Hisham didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau sebat atau kedua-dua daripada hukuman itu.

Mengikut fakta kes, remaja itu dimasukkan ke wad berkenaan pada jam 9 malam hari sebelumnya kerana mengalami sakit perut namun pada awal pagi keesokan harinya, tertuduh memeriksa mangsa tanpa ditemani jururawat sebanyak empat kali sebelum memegang dada dan kemaluan mangsa pada pemeriksaan ketiga dan keempat.

Mangsa kemudiannya memberitahu ibu bapanya dan bapa mangsa membuat laporan polis.

Noor Azian berkata hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Kajang pada 8 Februari tahun lepas adalah diperuntukkan dalam undang-undang dan mahkamah ini tidak perlu mengganggu keputusan tersebut. — Bernama

Advertisement