Anda di sini

BN harus pastikan semua janji ditunai

Advertisement

KUCHING: Barisan Nasional (BN) harus memastikan semua janji serta ikrar yang diberikan sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian lepas ditunaikan.

Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak yang juga ADUN Batu Lintang See Chee How berkata Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem perlu menentukan tarikh akhir projek-projek pembangunan hampir mencecah RM600 juta yang dijanjikan BN khas untuk kawasan Balingian dilaksanakan sepenuhnya.

Beliau berkata PKR tidak menghalang Ketua Menteri dan ahli Barisan Nasional (BN) Negeri terus meraikan kemenangan di Balingian tetapi janji serta ikrar diberikan hendaklah ditunaikan.

“Janji-janji diberikan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Ketua Menteri, menteri-menteri persekutuan serta negeri semasa kempen PRK Balingian tidak seperti telur- telur penyu.

“Jika pembangkang atau Pakatan Rakyat ibarat ayam seperti digambarkan Ketua Menteri baru-baru ini, saya fikir ayam itu telah melaksanakan tugasnya dengan cemerlang dalam PRK Balingian,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Pengerusi PKR Negeri Baru Bian di sini semalam.

Menurut See, pembangkang membuat ‘riuh’ adalah penting untuk membawa perhatian BN Pusat dan Negeri kepada kawasan Mukah-Balingian yang selama ini diabaikan menyebabkannya masih ketinggalan dalam pembangunan infrastruktur.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Adenan mengenai ‘Go Rural Project’ Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam satu sidang media baru-baru ini yang mengibaratkan pembangkang seperti ayam bertelur sebiji riuh sekampung manakala BN seperti penyu, meskipun hasilkan 100 telur berkualiti namun tetap bersikap rendah diri.

“Jelas sekali Ketua Menteri tidak faham penyu dan caranya bertelur… alasan penyu bertelur dengan banyak ialah hanya 60 hingga 80 peratus telurnya akan menetas, peratus yang lebih rendah daripada ayam.

“Selain diancam oleh pemangsa yang makan anak penyu, kajian mendapati daripada 10,000 anak penyu yang menetas hanya 1,000 akan membesar.

“Justeru saya bimbang apabila Ketua Menteri mengatakan BN melaksanakan projek pembangunan dijanjikan seperti penyu bertelur kerana hanya sedikit janji yang ditabur dipenuhi apabila tiba masanya,” ujar See.

Advertisement