Anda di sini

1,500 pemandu teksi LCCT mahu bayaran tunai dibayar segera

Advertisement

SEPANG: Kira-kira 1,500 pemandu teksi di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini melahirkan rasa tidak puas hati apabila syarikat yang mengendalikan khidmat teksi berkupon lambat melunaskan bayaran secara tunai kepada mereka.

Setiausaha Persatuan Kebajikan Pemandu-Pemandu Teksi LCCT Sepang, Mohd Nadzri Yacob mendakwa syarikat Mesra Indah Jaya Sdn Bhd (MIJ) lambat membuatpembayaran kepada pemandu teksi sehingga menjejaskan pendapatan mereka kerana mereka memerlukan wang tunai untuk membayar sewa teksi dan kos petrol.

“Perkara ini sudah berlarutan hampir sebulan dan ia semakin teruk. Alasan yang diberikan syarikat itu ialah pelanggan menggunakan kad kredit untukpembelian kupon teksi maka pembayaran semula kepada pemandu teksi akan mengambil masa.

“Kami berharap perkara ini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat kerana ia adalah hak kami,” katanya kepada pemberita di Hentian Teksi LCCT di sini semalam.

Nadzri berkata MIJ yang mengendalikan khidmat teksi berkupon akan mendapat sembilan peratus daripada kos keseluruhan perjalanan.

“Masalah ini tidak harus berlaku kerana MIJ sebuah syarikat yang berpengalaman dalam mengendalikan perkhidmatan teksi berkupon. Dengan caj sembilan peratus daripada kos perjalanan, mereka juga meraih keuntungan,”katanya.

Selain pemandu teksi, Nadzri berkata ejen menguruskan penukaran kupon kepada wang tunai dengan MIJ juga menerima tempias.

“Ejen yang mengenakan caj sebanyak RM0.50 sen kepada pemandu teksi juga tidak dapat bayaran,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar MIJ, Nor Hisam Bajuri menafikan pihaknya mengalami masalah aliran tunai sehingga menyebabkan kelewatan untuk pembayaran kepada pemandu teksi dan ejen.

Beliau juga menjelaskan bahawa pembayaran lambat kadang-kadang berlaku akibat proses pengeluaran wang tunai.

“Kami bukan hendak menganiaya sesiapa. Adalah polisi kita tidak simpan wang tunai di pejabat atas faktor keselamatan dan apa yang berlaku semalam (kelmarin) ialah bank yang digunakan syarikat kami mengalami gangguan talian dan wang tidak dapat dikeluarkan segera,” katanya. — Bernama

Advertisement