Anda di sini

Usahawan Bumiputera perlu daftar perniagaan

Advertisement

KUCHING: Bilangan usahawan Bumiputera di Sarawak yang berdaftar dengan agensi kerajaan masih kurang, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera)Datuk Mohd Naroden Majais.

Daripada 90,000 usahawan Bumiputera yang terdapat di negeri ini katanya, hanya 43,000 berdaftar dengan agensi kerajaan termasuk SME Corp.

Menurutnya, kurang bilangan usahawan Bumiputera berdaftar menyebabkan kesukaran untuk memperluaskan perniagaan.

“Alasan yang diberikan tidak mendaftar perniagaan termasuk dijalankan separuh masa dan beroperasi di rumah.

“Ini menyebabkan setengah daripada 90,000 usahawan Bumiputera di Sarawak tidak berdaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Bazar Wanita 1Malaysia di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia semalam.

Naroden yang juga Menteri Muda Perancangan Sumber menjelaskan, banyak manfaat diterima sekiranya usahawan Bumiputera berdaftar dengan agensi kerajaan.

“Manfaat yang diperolehi termasuk skim insurans berkelompok dan layak membuat pinjaman mikro antara RM1,000 hingga RM3,000,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan menerusi Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera (UPUB) Jabatan Ketua Menteri amat agresif membantu usahawan Bumiputera mendaftarkan perniagaan.

“Antara langkah yang kita ambil termasuk menjalankan banyak aktiviti seperti mewujudkan ruang perniagaan dan pasar untuk memastikan mereka berdaftar dengan kerajaan,” jelasnya.

Beliau menambah, kebanyakan usahawan Bumiputera di Sarawak melibatkan diri dengan perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS).

“Kita boleh lihat hampir 95 peratus di kalangan usahawan Bumiputera terlibat dengan IKS dan daripada jumlah ini (95 peratus), kira-kira 80 peratus menjalankan industri kotaj,” katanya sambil menambah 70 peratus daripada usahawan Bumiputera di negeri ini merupakan wanita.

Advertisement