Anda di sini

Dewan jadi ‘kasino mini’ diserbu

Advertisement

KOTA MARUDU: Leka berjudi, sembilan lelaki akhirnya ditahan polis selepas didapati bermain aktiviti pertaruhan dadu dalam satu insiden di Dewan Terbuka Kampung Bilangan Darat, Pitas dekat sini.

Dalam kejadian berlaku kira-kira jam 11.50 malam itu, difahamkan dewan yang dijadikan sebagai lokasi ‘kasino mini’ terbabit diserbu polis selepas mendapat maklumat berhubung aktiviti haram itu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintenden Mohd Isa Yusof berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota mengadakan serbuan ke dewan itu dan berjaya menahan sembilan lelaki yang berusia lingkungan 21 hingga 56 tahun.

“Kita juga berjaya merampas wang bernilai RM122 berserta pelbagai barangan lain yang dipercayai digunakan untuk aktiviti judi berkenaan.

“Rampasan dan tangkapan kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

 

Advertisement