Anda di sini

38 rumah setinggan musnah

Advertisement

API marak memusnahkan sebahagian besar rumah penduduk setinggan berhampiran Taman Dingin.

TAWAU: Sebuah penempatan setinggan berhampiran Hotel Promenade dekat Taman Dingin, Batu 1 1/2 Jalan Apas di sini terjejas teruk apabila 38 daripada 47 rumah musnah dalam kebakaran.

Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 3.30 pagi kelmarin itu menyaksikan hanya sembilan rumah yang ‘terselamat’ di kawasan itu, namun tidak ada sebarang kes kehilangan nyawa dilaporkan.

Berdasarkan maklumat daripada Unit Setinggan Majlis Perbandaran Tawau, 35 rumah yang terbakar didiami rakyat tempatan sementara tiga rumah lagi oleh rakyat warga Indonesia.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau Rudy Fredzex, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 3.42 pagi dan bergegas ke lokasi dengan kekuatan 23 anggota.

“Kita juga menggerakkan tiga jentera dan dua utiliti bomba serta dibantu lapan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia yang dilengkapi sebuah jentera dan lori,” katanya.

Rudy berkata, operasi yang diketuai Zouragarana Konin itu menghadapi kesukaran kerana jalan masuk ke kawasan terbabit sempit, bekalan elektrik belum dipotong dan masalah tekanan air yang rendah.

Beliau menasihati penduduk di kawasan setinggan supaya mengelak daripada membuat penyambungan elektrik secara tidak sah kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kejadian tidak diingini.

“Kita sarankan penduduk di kawasan setinggan supaya memohon mendapatkan bekalan elektrik secara sah daripada pihak berwajib mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi keselamatan mereka,” katanya.

Untuk rekod, kebakaran di penempatan setinggan terbabit yang juga terletak berhampiran dengan Pejabat Jabatan Air Daerah Tawau dalah yang terburuk dalam tempoh Januari-April pada tahun ini.

 

Advertisement