Anda di sini

Usaha memantapkan SPDP perlu dilakukan secara berpasukan

Advertisement

SIBU: Ahli Majlis Tertinggi Parti Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Paul Igai berkata sebarang usaha memantapkan parti perlu dilakukan secara berpasukan dan bukannya secara bersendirian.

Beliau berkata, daripada meminta Presidennya Tan Sri William Mawan Ikom meletak jawatan, pemimpin SPDP perlu menerima hakikat bahawa tugas mereka sekarang ialah menyatukan dan memantapkan semula parti.

“Tidak perlu meminta presiden mengundurkan diri kerana ini bukan masanya.

“Kita baharu sahaja selesai memulihkan kembali imej parti dan jangan keruhkan lagi keadaan dengan mewujudkan puak-puak di kalangan kita sendiri.

“Jadi, saya berharap usaha memantapkan parti tidak menerusi usaha seorang atau tiga orang, ia perlu menerusi usaha berpasukan dalam parti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Bernama Online semalam yang menyiarkan kenyataan tuntutan kumpulan yang mendakwa sebagai ahli dan penyokong daripada kira-kira 30 bahagian SPDP.

Dalam laporan tersebut, kumpulan berkenaan mahukan Mawan meletak jawatan sebagai presiden SPDP kerana menerima kembali kepulangan empat bekas pemimpin kanannya.

“Daripada perspektif kami, ia dilakukan dengan cara yang terburu-buru dan tidak mengikut perlembagaan parti kita, “ kata kumpulan itu dalam satu kenyataan melalui e-mel kepada Bernama.

Mereka mendakwa kemasukan semula itu adalah bercanggah dengan keputusan yang dibuat pada Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali (TGA) dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang memutuskan bahawa empat ahli yang dipecat tidak boleh diterima kembali ke dalam parti.

Empat pemimpin itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Peter Nansian, Datuk Sylvester Entri Muran (Marudi), Rosey Yunus (Bekenu) dan Paulus Gumbang (Batu Danau).

Seorang lagi bekas pemimpin kanan SPDP ialah bekas Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe.

Bagaimanapun, beliau tidak diterima masuk ke dalam parti kerana menentang calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum lalu.

Sementara itu, Paul yang merupakakan Setiausaha Politik Ketua Menteri juga menegaskan bahawa sekarang bukan masanya bagi mana-mana anggota menangguk di air keruh.

Tambahan pula, apa juga isu yang membelenggu parti perlu diselesaikan secara dalaman dan dibincangkan bersama terutama antara pucuk pimpinan parti.

“Apa yang lebih penting, semua ahli termasuk pemimpin harus bekerjasama serta bergerak bersama dalam mengukuhkan perjuangan parti,” katanya.

Advertisement