Anda di sini

Sertai Pertandingan Fotografi bertema ‘1Sarawak’

Advertisement

KUCHING: Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) melancarkan Pertandingan Fotografi bertemakan ‘1Sarawak’ yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

Setiausaha Agung SABERKAS Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pertandingan itu dibuka bermula semalam hingga 30 April yang menawarkan hadiah berupa kamera digital Sony, Samsung Tablet PC dan keahlian Phoenix Gym.

“Pertandingan ini terbuka kepada ahli SABERKAS sahaja namun bagi mereka (orang ramai) yang ingin menyertai pertandingan  ini bolehlah menjadi ahli SABERKAS terlebih dahulu bagi merebut hadiah menarik yang kami tawarkan,” katanya pada sidang media di Phoenix Gym, Jalan Foochow di sini semalam.

Dr Abdul Rahman menambah, bertemakan ‘1Sarawak’ yang mengambarkan keharmonian pelbagai kaum yang ada di negeri ini, gambar yang kreatif bercirikan aspek itu akan dinilai oleh juri profesional yang dijemput khas.

Pada masa sama, beliau berkata pertandingan itu juga bertujuan menggalakkan ahli SABERKAS bergiat aktif dalam mempromosikan Sarawak menerusi aktiviti yang dijalankan.

“Kami berharap ia dapat menarik lebih ramai belia SABERKAS untuk ikut serta dalam pertandingan ini dalam usaha kita berkongsi idea untuk membangunkan belia Sarawak ke arah yang lebih baik,” tambahnya.

Selain itu beliau turut menggalakkan lebih banyak syarikat swasta ikut serta dalam bersama-sama membangunkan belia di negeri ini.

“Kami amat berterima kasih kepada Phoenix Gym yang bersama-sama kami menjayakan pertandingan ini dan pada masa sama mempromosikan gaya hidup sihat kepada rakyat Sarawak,” ujarnya.

Ahli SABERKAS yang ingin menyerahkan penyertaan boleh menghantar gambar mereka berserta nama dan nombor kad pengenalan ke [email protected].

Advertisement