KUCHING: Sarawak membenarkan kemasukan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Balingian bagi mengelak kesan-kesan antarabangsa.
Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan pada sidang media di pejabatnya, Tingkat 22, Bangunan Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.
“Kami membenarkan beliau (Anwar) masuk kerana kami tidak gentar terhadap beliau dan jika kami tidak berbuat demikian macam-macam kesan antarabangsa akan timbul,” katanya.
Tambah Adenan, di sebalik kehadiran Anwar, Parti Keadilan Rakyat (PKR) hampir kehilangan deposit mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Balingian.
“Kita semua dapat lihat, bahawa tidak banyak impak yang dapat disumbangkan oleh pemimpin pembangkang itu untuk parti mereka sendiri.
“Kehadiran beliau di Balingian juga tidak mampu membantu PKR memenangi pilihan raya malah hampir kehilangan deposit,” tambah Adenan.
Dalam perkembangan berkaitan, Adenan memberitahu bahawa kerajaan negeri menyimpan senarai ‘the persona non grata’ dan akan terus menyemak semula senarai tersebut.
Malah menurut Adenan beberapa pemimpin pembangkang termasuk Naib Pengerusi PKR Chua Tian Chang (Tian Chua) dan Ketua Wanita Zuraida Kamarudin tidak dibenarkan memasuki Sarawak ketika tempoh berkempen yang lalu.
Adenan bagaimanapun enggan mendedahkan sebab-sebab larangan tersebut memandangkan ia adalah di bawah bidang kuasa setiausaha kerajaan negeri.