Anda di sini

Salibasic masih milik Sarawak

Advertisement

SALIBASIC

Pemain itu masih alami kecederaan mungkin diturunkan apabila sembuh sepenuhnya

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengesahkan penyerang import dari Bosnia Herzegovina, Muamer Salibasic masih kekal bersama Ngap Sayot dan bukannya digugurkan seperti dakwaan beberapa pihak dalam laman sosial.

Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi berkata buat masa ini Salibasic masih mengalami kecederaan dan mungkin dalam masa terdekat boleh diturunkan apabila sembuh sepenuhnya.

Sehubungan itu, peminat Ngap Sayot dinasihatkan agar tidak mempercayai segala dakwaan atau khabar angin dalam laman sosial seperti ‘Facebook’.

“Setakat ini, Salibasic masih menjadi milik pasukan Sarawak. Mungkin dalam masa terdekat beliau (Salibasic) akan sembuh dan boleh diturunkan.

“Saya berharap peminat tidak percaya dengan dakwaan atau khabar angin dalam laman sosial yang mengatakan Salibasic telah digugurkan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Salibasic mengalami kecederaan lutut kiri selepas dirempuh pertahanan ATM dalam perlawanan pembukaan Liga Super 2014 pada 18 Januari lalu di Stadium Majlis Perbandaran Selayang yang berkesudahan Sarawak tumpas 2-0.

Kehilangan Salibasic memberi kesan kepada jentera serangan Sarawak yang dilihat agak tumpul ketika menghadapi saingan liga musim ini.

Penyerang sensasi itu juga memainkan peranan penting dalam membantu Ngap Sayot menjuarai Liga Perdana musim lalu.

Menurut Abdullah, FAS akan mengeluarkan kenyataaan rasmi sekiranya ada antara pemain yang digugurkan.

“Kita tidak menggugurkan pemain tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi,” katanya.

Perlawanan seterusnya menyaksikan Sarawak menanti kunjungan Terengganu di Stadium Negeri, di sini pada 4 April depan.

Sarawak kini menghuni tangga ketujuh Liga Super 2014 selepas mengutip 13 mata.

Advertisement