Anda di sini

Polis berjaya hidu aktiviti pengedaran dadah

Advertisement

TUMPAS: Sabri (dua kiri) menunjukkan pistol angin serta barang-barang rampasan lain dalam serbuan tersebut. Turut kelihatan (dari kanan) Abang Ali, Lonie dan Chan.

Taktik berselindung di sebalik perusahaan bengkel kereta di Jalan Emas, Bau gagal mengaburi mata polis

BAU: Taktik berselindung di sebalik perusahaan bengkel kereta di Jalan Emas di sini bagi mengaburi mata polis ternyata gagal apabila aktiviti pengedaran dadah itu berjaya dihidu sekali gus ditumpaskan.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Mohd Sabri Zainol berkata, serbuan kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin itu menyaksikan penangkapan tujuh lelaki berusia dalam lingkungan 21 hingga 34 tahun termasuk pekerja am syarikat penerbangan tambang murah.

Hasil pemeriksaan dalam stor rumah itu katanya, polis menjumpai dua papan (20 butir) pil Eramin 5 dan syabu seberat 1.13 gram, tiga tiub penyedut minuman dan wang RM2,241.

“Polis seterusnya menjumpai alat penimbang, gunting dan corong di dalam rumah, dipercayai untuk memproses dadah, serta sebuah pistol angin bersama 18 tiub (peluru),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bau di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Bau Inspektor Jospal Selagie, Ketua Balai Polis Bau Sarjan Mejar Abang Ali Abang Ali Majid,  Ketua Bahagian Pengurusan Bau ASP Chan Soon Sing dan Pegawai Penyiasat Inspektor Lonie Butet.

Sabri turut mendedahkan bahawa empat daripada tujuh suspek itu didapati positif dadah, menyalahi Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda RM5,000 atau penjara tidak kurang daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Seksyen Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 turut dijalankan  di mana mengikut kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kesemua suspek yang ditahan reman selama empat hari berakhir hari ini, turut disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

“Dalam statistik 2012 dan 2013, tangkapan di bawah kesalahan dadah meningkat 100 peratus tapi dari segi pengedaran, kurang… melainkan secara kecil-kecilan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sabri berkata polis dengan kerjasama askar menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki memandu kenderaan jenis Volkswagen yang dicuri.

Penahanan itu dilakukan di Serikin, sempadan antara daerah kecil itu dengan Indonesia, baru-baru ini.

“Kereta mewah itu membawa nombor pendaftaran negara Brunei dan siasatan masih dijalankan meskipun kekangan dokumen,” katanya tanpa mengulas lanjut.

IPD Bau turut meraikan sambutan Hari Ulang Tahun Kor Kadet Polis Ke-44 yang disertai hampir 200 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lake, SMK Bau dan SMK Paku.

“Kami menyeru kor kadet itu untuk menyelitkan program kepolisan dalam setiap aktiviti sebagai langkah meningkatkan kesedaran menjauhi jenayah,” katanya.

Advertisement