Anda di sini

Pelados Spaoh dan EG Galaxy rebut Piala Sumbangsih pada 5 April depan

Advertisement

BETONG: Pertembungan dua pasukan masing-masing memiliki kelebihan tersendiri Pelados Spaoh dan EG Galaxy dalam kancah bola sepak di Bahagian Betong bakal disaksikan apabila beraksi pada perlawanan Piala Sumbangsih pada 5 April depan.

Pelados Spaoh yang juga juara Piala Datuk Patinggi Jabu edisi ke-15 tahun lalu bakal menurunkan barisan terkuat dan turut dibarisi tiga tonggak yang pernah menyarung jersi Sarawak bagi memperkukuh kejuaraan musim ini.

Berstatus skuad pilihan, Pelados Spaoh dikemudi Abang Suhardi sebagai pengurus pasukan yang juga pemilik Syarikat TTE dan dibantu Mohamad Faizal Ismail selaku jurulatih sejak tujuh musim lalu membawa barisan Pelados berjaya menjulang Piala Datuk Patinggi Jabu edisi lalu.

Dari segi percaturan barisan pemain yang tersenarai dan kekuatan pasukan musim lalu, Pelados Spaoh merupakan pasukan yang akan memberi ancaman kepada mana-mana pasukan yang bertanding pada musim ini.

Kehadiran tiga tonggak yang pernah membarisi skuad Sarawak membuktikan Pelados Spaoh tidak sekadar melengkapkan penyertaan, malah berkeyakinan akan kembali meneruskan reputasi selaku ‘sang juara’.

Berbeza dengan pasukan EG Galaxy mempertaruh barisan pemain muda kelahiran tempatan dan dibantu beberapa pemain lain yang cuba memberi tentangan kepada pasukan lawan.

Pada musim lalu, EG Galaxy agak menyerlah dan berjaya naib juara di belakang pasukan 30 Junction yang tidak menyertai kejohanan kali ini selain wakil Betong pada kejohanan Piala Juara- Juara Sarawak di Bintulu musim lalu.

Skuad kendalian Ismail Mohamad selaku pengurus pasukan dibantu Hot Kambri selaku jurulatih akan cuba meneruskan rentak dan berusaha mempamerkan penguasaan musim ini.

Tidak hanya itu, perlawanan Piala Sumbangsih kali ini bakal menjadi medan menilai barisan sebenar yang akan menjadi pencabar kepada mana-mana pasukan yang bertanding.

Advertisement