Anda di sini

NGO bukan ‘persatuan politik’ tetapi turut bantu kerajaan

Advertisement

SIBU: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga berperanan sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent berkata NGO ditubuhkan tidak semestinya memainkan peranan untuk ahli dan aktiviti sahaja malah boleh bekerjasama erat dengan kerajaan demi manfaat rakyat dan ahli-ahlinya.

“NGO juga boleh membantu kita (kerajaan) menjayakan agenda kerajaan dan membantu menyebarkan dasar-dasar kerajaan.

“Ini bukan bermaksud NGO itu ‘persatuan politik’ tetapi ia hanya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan demi manfaat semua,” katanya pada Program Info Bestari Komuniti 1Malaysia (K1M) Bawan dan Tada, Kanowit di sini.

Hadir sama Pegawai Penerangan Daerah Kanowit Wan Mohd Zuki Wan Ismail, Pengerusi K1M Bawan Kaunselor Stephen Chendang, Pengerusi K1M Tada Kaunselor Bunut Kubu, Penghulu Barnabas Angkis, Penghulu Ugap Seribu, Penghulu Juni Masam, Penghulu Ijam Tuah serta tetamu lain.

Sementara itu, Alexander turut menggesa semua pihak termasuk pemimpin masyarakat agar bekerjasama dengan kerajaan.

“Selain NGO, pemimpin masyarakat hendaklah selari dan bersama-sama dengan kerajaan berperanan untuk membantu rakyat.

“Usaha murni ini penting dalam meningkatkan perpaduan antara kerajaan dan rakyat,” jelasnya.

Beliau turut menggesa ketua-ketua masyarakat setempat supaya bertindak bijak dalam memberi perjelasan dan penerangan berkaitan isu semasa dan agenda kerajaan kepada rakyat.

Katanya amalan budaya hidup bermuafakat dalam apa juga keadaan akan menjamin perpaduan berterusan dan kualiti hidup lebih bermakna.

“Sebagai wakil rakyat di Ngemah, saya sentiasa menyokong setiap aktiviti dianjurkan oleh K1M ataupun NGO lain.

“Selain itu, saya cuba meluangkan masa menghadiri program dianjurkan sebagai sokongan moral dan menggunakan peluang itu untuk mendekatkan diri dengan rakyat,” jelasnya.

Alexander turut memberi jaminan bahawa kerajaan terus memberi penumpuan terhadap kawasan luar bandar dalam menyalurkan pembangunan berterusan.

Pada program yang sama, kaunselor-kaunselor Majlis Daerah Kanowit (MDK) turut diraikan dengan mengadakan majlis kesyukuran atau pelantikan mereka baru-baru ini.

Advertisement