Anda di sini

Nelayan kena 13 tahun, 10 sebatan

Advertisement

Rogol anak kandung berumur 12 tahun

KOTA KINABALU: Angkara merogol anak berumur 12 tahun, seorang nelayan menerima padah apabila dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin.

Tertuduh yang berusia 38 tahun itu dijatuhkan hukuman oleh Hakim Azreena Aziz selepas mengaku bersalah merogol mangsa pada 15 Mac lalu  jam 6.30 pagi di sebuah perumahan, Beaufort.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa telah membuat laporan polis pada 18 Mac lalu jam 8.46 malam menyatakan bahawa dia telah dirogol oleh ayah kandungnya.

Sebelum mangsa dirogol oleh bapanya, pengadu juga mengakui bahawa datuknya pernah merogolnya beberapa kali sebelum meninggal dunia.

Ekoran kejadian itu, mangsa yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu berasa sangat sedih sehingga pernah terfikir untuk membunuh diri.

“Saya kesal dilahirkan di dunia ini kerana mempunyai bapa yang tidak berperikemanusiaan…apabila saya sedih, saya akan selalu berfikiran negatif seperti hendak bunuh diri,” kata mangsa.

Dalam pada itu, mangsa juga memberitahu bahawa ibu mereka sudah lama meninggalkan mereka dan telah balik ke Indonesia.

Sementara itu dalam mahkamah berasingan, seorang juruelektrik mengaku bersalah atas pertuduhan merogol anaknya berusia 12 tahun.

Tertuduh didakwa merogol anak perempuannya pada 15 Mac jam 10 malam di sebuah rumah, Beaufort.

Bagaimanapun Hakim Dean Wayne Daly menetapkan 16 April ini sebagai laporan perubatan serta menyampaikan keputusannya.

Tertuduh juga tidak ditawarkan ikat jamin dan direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.

Pendakwaan itu dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nartiah F Sambatan.

Advertisement