Anda di sini

MPS sasar memecah rekod dunia

Advertisement

Himpun 700 orang berpakaian replika pokok sempena ‘Love Earth Day’

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menyasarkan memecah rekod dunia Guinness sempena sambutan ‘Love Earth Day’ pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam, Persekitaran dan Perkhidmatan MPS Rhoda Ting berkata, rekod itu adalah untuk menghimpunkan orang berpakaian replika pokok dengan jumlah yang ramai sempena sambutan tersebut.

Beliau berkata, sambutan itu diadakan di Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) di sini pada 19 April ini.

“Pemegang rekod acara tersebut adalah Goluchow, Poland pada 30 September tahun lalu.

“Ia melibatkan seramai 516 peserta berkumpul dalam bentuk pokok,” katanya pada Mesyuarat Bulanan MPS di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi MPS Datuk Tiong Thai King, Timbalan Pengerusi MPS Datuk Andrew Wong, Setiausaha MPS Hii Chang Kee serta ahli-ahlinya.

Menurutnya, MPS menyasarkan mengumpul seramai 700 peserta bagi merealisasikan sasaran tersebut.

“Kami juga mahu mencipta rekod baharu untuk acara yang sama dalam Malaysia Book of Records,” jelasnya.

Beliau menambah, mereka yang ingin menyertai acara tersebut perlu berpakaian seperti pokok.

Sementara itu, Andrew berkata MPS menaik taraf sebahagian Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce bermula di pasar raya Farley dan kemudian ke Jalan Teng Kung Suk sebaik MPS menerima pembiayaan daripada kerajaan.

Beliau berkata anggaran kos naik taraf itu adalah sebanyak RM3 juta.

“Kos ini mungkin bertambah bergantung kepada harga bahan mentah atau kos buruh pada masa akan datang.

“MPS memohon pembiayaan bagi tujuan itu sudah banyak kali,” katanya.

Advertisement