Anda di sini

Lima ekor anjing peliharaan mati dipercayai diracun

Advertisement

SIBU: Lima anjing peliharaan sebuah bengkel jentera berat mati dipercayai diberi makan racun manakala seorang pengawal keselamatan ditumbuk dan diikat dalam satu kes rompakan di Jalan Salim-Stabau di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.20 pagi, pengawal keselamatan berumur 50 tahun itu mendakwa dirinya tiba-tiba ditumbuk dan diikat oleh seorang lelaki tidak dikenali semasa berehat di bengkel itu.

Sejurus selepas tangannya diikat, dia ternampak empat lagi lelaki bercakap dalam loghat Iban sedang mencari barang di premis itu.

Tidak lama kemudian kedengaran bunyi lolongan anjing yang dipelihara pihak syarikat menyebabkan lima lelaki tersebut bergegas lari menuju ke arah sungai.

Menurut pengadu, salah seorang lelaki berkenaan sempat bertanya kepadanya sama ada rumah berhampiran ada duit atau tidak.

“Saya menjawab tidak tahu dan tidak lama kemudian mereka terus beredar dari situ sambil melarikan sebilah pisau dan beg milik saya,” katanya.

Pengadu kemudiannya menjerit meminta pertolongan daripada seorang wanita yang tinggal berhampiran untuk membuka ikatan tali di tangannya.

Selepas memeriksa keadaan di situ, dia mendapati satu unit alat ganti jentera berat dianggarkan bernilai RM200 hingga RM300 didapati hilang.

Pengawal keselamatan tersebut juga mendapati kelima-lima ekor anjing belaan syarikatnya didapati mati dipercayai diberi makan racun oleh kumpulan perompak itu.

Pengadu percayai lima perompak tersebut berjaya memasuki kawasan bengkel tersebut melalui sungai dengan mendayung perahu.

Kes tersebut dilaporkan di Balai Polis Sentral Sibu pada pagi yang sama.

Advertisement