Anda di sini

LAKI, KPK adakan kunjungan hormat terhadap SPRM Sarawak

Advertisement

KUCHING: Seramai 18 anggota Laskar Anti Korupsi Indonesia (LAKI) dan Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) mengadakan kunjungan hormat terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sarawak di sini, semalam.

Objektif kunjungan tersebut adalah bagi mewujudkan rangkaian hubungan kerja-sama antara Sarawak dan Indonesia dalam pembanterasan rasuah di sempadan serta bidang operasi siasatan dan perisikan antara dua negara.

Ketua Umum LAKI Bur-hanudin Abdullah dalam ucapan aluannya memberitahu, kerjasama semua pihak adalah penting dalam membanteras jenayah rasuah.

Menurutnya, jenayah ra-suah bukan lagi masalah sesebuah negara sahaja tetapi seluruh dunia.

“Rasuah boleh menyebabkan pemerintahan sesebuah negara rosak dan ia jelas haram dan merugikan negara,” katanya.

Burhanudin menambah, terdapat tiga pihak yang perlu memainkan peranan dalam mengelak rasuah daripada berlaku iaitu peme-rintah (kerajaan), Lembaga Penjaga Hukum (pihak berkuasa seperti polis serta badan kehakiman) dan masyarakat.

“Ketiga-tiga pihak ini perlulah melaksanakan tugas mereka kerana sekiranya salah satu daripadanya gagal pastinya jenayah rasuah tidak akan dapat diatasi sampai bila-bila.

“Oleh itu, setiap pihak ini perlu berganding bahu dan tidak hanya menyerahkan tugas kepada satu pihak sahaja,” katanya.

Dalam ucapannya juga, Burhanudin turut menerangkan fungsi dan peranan LAKI di Indonesia serta kejayaan yang dicapai oleh jabatan itu sehingga kini.

Justeru, beliau berharap melalui kunjungan tersebut yang mana kunjungan sama pernah dibuat oleh SPRM di Indonesia beberapa bulan lalu, dapat meningkatkan lagi kerjasama antara dua negara dalam membanteras jenayah rasuah.

Sementara itu, Pengerusi Biro Anti Rasuah Malaysia (BARAMAS) Cawangan Sarawak Datuk Seri Razali Bolhi yang turut hadir bertekad akan membantu SPRM membudayakan sikap antirasuah dalam kalangan masyarakat.

“BARAMAS merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan bagi membantu SPRM dalam aktiviti dan program pencegahan rasuah di negara ini.

“Justeru, dengan kerjasama SPRM kami akan sama-sama berbincang mencari jalan untuk mendidik masyarakat khasnya belia termasuk anak-anak dalam usaha membudayakan sifat benci kepada rasuah,” jelasnya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Persaudaraan Dayak Islam Malaysia (PEDI) memberitahu, penubuhan BARAMAS lahir daripada perasaan dan kesedaran da-lam memastikan negara ini tidak musnah akibat jenayah rasuah.

Antara pengisian kunju-ngan tersebut ialah taklimat oleh Ketua Cawangan MACMA Bahagian Siasatan SPRM Azmin Mohamad.

Turut hadir Timbalan Pengarah SPRM Negeri Rosley Satar dan Penyelaras Program Zulhairy Zaidel.

Advertisement