Anda di sini

Kes demam denggi di Miri menurun

Advertisement

Usaha bendung jangkitan dipergiat dengan kerjasama penduduk

MIRI:  Usaha membendung dan mengawal jangkitan demam denggi terus dipergiatkan dengan kerjasama penduduk menjaga kebersihan sekitar kediaman mereka.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai berkata jumlah kes demam denggi dilaporkan antara Februari dan Mac tahun ini telah menurun.

“Sebanyak 12 kes demam denggi dilaporkan di bandar raya ini pada Mac ini, menurun lima kes berbanding 17 kes dilaporkan sepanjang Februari lalu,” katanya pada Mesyuarat Ahli-ahli Majlis MBM di sini.

Mereka yang mengalami simptom seperti demam dan cirit-birit harus segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan sebagai langkah awal pencegahan jangkitan demam denggi.

Penduduk juga diminta rajin menjaga kebersihan kawasan kediaman mereka termasuk membuang air bertakung dalam bekas-bekas seperti tayar dan pasu untuk menghalang pembiakan nyamuk.

Mereka juga boleh menjadikan amalan 10 minit dalam seminggu untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan masing-masing.

“Kita jadikan amalan ini sebagai senaman. Kadang-kadang kita tidak tahu ada bekas-bekas yang menakung air di kawasan sekitar rumah kita yang harus kita buang,” tegas Lawrence.

Mengulas isu lain, beliau berkata sepanjang Mac MBM menerima sebanyak 13 aduan daripada penduduk yang tidak berpuas hati terhadap perkhidmatan pembuangan sampah oleh syarikat kontraktor.

Jumlah aduan meningkat berbanding 11 aduan diterima sepanjang Februari lalu.

Kegagalan syarikat kontraktor mengutip sampah mengikut jadual ditetapkan menyebabkan masalah longgokan sampah dan bau di kawasan kediaman.

Sementara itu, MBM dengan kerjasama JCI Lutong bersama menganjurkan aktiviti berbasikal beramai-ramai iaitu Miri City Green Ride pada 1 Mei depan.

Aktiviti itu merupakan pelancaran Miri May Fest 2014 dalam kalendar aktiviti MBM sepanjang Mei.

Kemuncak aktiviti ialah sambutan Hari Bandar Raya Miri pada 20 Mei.

Advertisement