Anda di sini

Kejayaan penganjuran program bergantung kepada kerjasama, komitmen AJK penganjur

Advertisement

KUCHING: Kejayaan penganjuran sesuatu program kemasyarakatan bukan terletak kepada aspek kewangan sebaliknya bergantung kepada kerjasama dan komitmen ahli jawatankuasa penganjur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sumber kewangan yang banyak tidak akan memberi makna sekiranya ahli jawatankuasa penganjur tidak sehaluan.

Menurutnya, keadaan seperti itu akan menyebabkan sumber kewangan dibelanjakan secara tidak terurus dan tersusun.

“Dalam penganjuran apa-apa program, kita tidak dapat hanya bergantung kepada aspek kewangan tetapi perlu mengambil kira semangat kerjasama dan komitmen ahli jawatankuasa pengajur.

“Ada sumber kewangan banyak pun tidak berguna sekiranya ahli jawatankuasa penganjur tidak sehaluan, ini kerana kerjasama merupakan tunjang utama kejayaan sesuatu program,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program My Sihat di Dewan Kampung Santubong baru-baru ini.

Program anjuran Kelab Aerobik Kampung Santubong itu mendapat kerjasama daripada Unit SABERKAS Kampung Santubong, Pergerakan Pemuda dan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Ranting Kampung Santubong serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Santubong.

Tambahnya, program berbentuk kesihatan merupakan antara platform terbaik untuk mendedahkan kepada setiap lapisan masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan.

“Saya menyarankan agar program ini (Program My Sihat) menjadi acara tahunan di kampung ini (Kampung Santubong).

“Ini kerana ia merupakan langkah terbaik untuk mendidik penduduk kampung untuk mengamalkan gaya hidup sihat,” ujarnya.

Dr Abdul Rahman turut mengumumkan sumbangan geran RM5,000 kepada Kelab Aerobik Kampung Santubong untuk menjayakan aktiviti dan program pada masa akan datang.

Pelbagai cara diadakan sepanjang program itu berlangsung termasuk futsal, congkak, pertandingan memasak makanan tradisional dan senamrobik.

Advertisement