Anda di sini

Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak akan dilengkapi 10 ambulans lagi

Advertisement

KUCHING: Selain jentera pemadam api, aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak akan dilengkapkan dengan 10 ambulans lagi.

Menurut Pengarahnya Nor Hisham Mohammad, ambulans berkenaan dijangka diterima menjelang penghujung tahun ini.

“Ambulans ini akan bertindak sebagai Emergency Medical Rescue.

“Selain kemudahan perubatan, ia akan turut dilengkapi dengan kemudahan menyelamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013 Bomba Sarawak di sini, semalam.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Bomba Malaysia Datuk Mahadi Md Ali.

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata bomba negeri pada Januari lalu telah menerima sebanyak 15 jentera pemadam api SCANIA.

“Semua jentera ini telah beroperasi dan ia diagihkan kepada setiap balai,” katanya sambil menambah sebuah jentera tersebut adalah bernilai RM1.71 juta.

Berhubung kes letupan di Serian baru-baru ini, Nor Hisham berkata pihaknya masih menunggu Jabatan Kimia mengenal pasti bahan yang terlibat.

“Sampel telah dihantar ke Putrajaya dan kami masih menunggu keputusan daripada Jabatan Kimia,” katanya.

Pada 14 Mac lalu, satu kejadian letupan kuat telah menggemparkan bandar Serian, kira-kira 60 kilometer dari sini.

Advertisement