Anda di sini

IPD Kota Samarahan berusaha pastikan tiga daerah bebas dadah

Advertisement

BERSAMA MENCEGAH JENAYAH: Lee (duduk tengah) ditemani tetamu kehormat lain merakam kenangan bersama Kor Kadet Polis di IPD Kota Samarahan semalam.

KOTA SAMARAHAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan akan sentiasa menjalankan pemantauan secara berterusan dalam usaha memastikan tiga daerah di bawah IPD itu iaitu Kota Samarahan, Asajaya dan Sadong Jaya bebas daripada dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Lee Chong Chern berkata, pemantauan itu juga akan memfokuskan kepada golongan pelajar sekolah ekoran terdapat penularan kes berkaitan penyalahgunaan dadah di situ.

“Walaupun kes penyalahgunaan dadah membabitkan pelajar sekolah di tiga daerah di bawah IPD Kota Samarahan belum berada di tahap yang serius, namun kami sentiasa memberi perhatian dengan memantau kes ini supaya pelajar di sini bebas daripada dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Ulang Tahun Kor Kadet Polis Ke-44 di IPD Kota Samarahan di sini semalam.

Lee memberitahu dalam usaha itu, pihak polis telah mewujudkan pegawai perhubungan sekolah bagi memantau kes itu di setiap sekolah di kawasan itu.

Jelasnya lagi, terdapat kes penyalahgunaan dadah jenis sintetik dan methamphetamine di situ namun hanya membabitkan seorang hingga dua pelajar sahaja.

“Selain itu, kami juga menjalinkan kerjasama erat dengan Agensi Antidadah Kebangsaan untuk rawatan pemulihan pelajar yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” tegasnya.

Pada masa sama beliau memberitahu, pemeriksaan air kencing juga akan dilakukan di sekolah-sekolah berdasarkan perkembangan dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu katanya, penubuhan Kor Kadet Polis di sekolah-sekolah dapat menjadi mata dan telinga pihak polis bagi menyalurkan maklumat berkaitan jenayah di sekolah.

“Setakat ini sebanyak sembilan sekolah telah menubuhkan Kor Kadet Polis di sini namun hanya beberapa sekolah sahaja yang aktif,” ujarnya.

Hadir sama Ketua Bahagian Cawangan Khas IPD Kota Samarahan ASP Mohd Ibrahim Jalaluddin.

Advertisement