Anda di sini

Indonesia berpuas hati dengan usaha Malaysia

Advertisement

BERBINCANG: Hishammuddin (kanan) berbincang dengan Wakil Khas dan juga Penasihat Khas kepada Menteri Luar Indonesia, Wiwiek Setyawati ketika menerima kunjungan hormat wakil khas kerajaan Indonesia mengenai pesawat MH370 di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Indonesia berpuas hati dengan usaha Malaysia menyelaras usaha mencari dan menyelamat (SAR) untuk menjejaki pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370.

Wakil Khas kerajaan Indonesia Wiwiek Setyawati Firman berkata: “Kami berada di sini untuk menghulurkan sokongan kepada Malaysia meneruskan siasatan serta operasi mencari dan menyelamat.”

Jakarta bersedia menghulurkan sebarang bantuan, kata beliau kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan selama sejam dengan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini, semalam.

Turut hadir Duta Besar Indonesia di Malaysia Herman Prayitno.

Ketika ditanya bagaimana ahli keluarga penumpang warga Indonesia menghadapi tragedi itu, beliau berkata anggota keluarga terbabit melahirkan sokongan penuh mereka kepada Malaysia dan berharap pasukan SAR akan meneruskan misi mencari mana-mana mangsa yang terselamat.

Selepas menemui delegasi Indonesia, Hishammuddin menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia Rod Smith dan Ketua Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia Martin Dolan selama kira-kira sejam.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing jam 6.30 pagi hari yang sama.

Berdasarkan analisis yang belum pernah digunakan sebelum ini oleh Inmarsat, firma telekomunikasi satelit United Kingdom, dan cawangan Siasatan Kemalangan Udara UK (AAIB), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat itu, bahawa Penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”. — Bernama

Advertisement