Anda di sini

Hutan paya gambut dipantau

Advertisement

JEREBU: Papan tanda Tahun Melawat Malaysia yang terletak di tepi Jalan Kuala Baram, kurang jelas ekoran jerebu yang menyelubungi kawasan itu pagi semalam.

JAS pastikan tiada kebakaran hutan, pembakaran terbuka di pinggir bandar raya Miri

MIRI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan terus memantau keadaan di hutan paya gambut yang terletak di sekitar pinggir bandar raya ini, bagi memastikan tidak ada berlaku kebakaran hutan dan pembakaran terbuka oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ini kerana hutan paya gambut merupakan kawasan larangan keras untuk sebarang pembakaran terbuka, disebabkan ia mudah terbakar dan merebak selain sukar untuk dipadamkan, apabila berlakunya kebakaran yang besar.

Pegawai JAS Miri Mohamad Fitri Said berkata pihaknya sudah menghantar satu pasukan khas yang melakukan pemantauan di kawasan berkenaan bagi memastikan tiada pihak melakukan pembakaran terbuka.

“Sehingga kini keadaan masih terkawal dan kami amat bersyukur dengan perubahan angin monsun ketika ini yang mulai menyaksikan hujan turun sejak minggu lalu, sekali gus membantu mengurangkan keadaan yang berjerebu di sini,” jelasnya.

Beliau yang dihubungi semalam, memberitahu walaupun masih dalam musim kering namun berbanding keadaan pada Januari dan Februari lalu, situasi ketika ini adalah lebih baik dan kurang berjerebu.

Mengenai jerebu yang masih menyelubungi beberapa kawasan di sini sejak kelmarin dan awal pagi semalam, Fitri berkata jerebu berkenaan dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka yang berlaku di Jalan Miri-Airport By-Pass di sini, pada Ahad lalu (kelmarin).

“Pembakaran terbuka yang dilakukan di situ dipercayai menyebabkan keadaan yang berjerebu di sekitarnya, khususnya berhampiran Tudan, Permyjaya dan Kuala Baram.

“Bagaimanapun secara keseluruhannya, keadaan ketika ini lebih baik berbanding sebulan lepas dan cuaca di bandar raya Miri juga baik serta bebas daripada jerebu,” jelasnya.

Dalam pada itu, tambahnya, JAS turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, bagi melakukan pemeriksaan ke atas sebarang aktiviti pembakaran terbuka, memandangkan pasukan bomba sentiasa menjadi yang pertama dan terawal berada di lokasi dan dimaklumkan mengenai pembakaran terbuka.

“Pihak bomba akan berhubung secara terus dengan JAS bagi memaklumkan mengenai lokasi dan aktiviti pembakaran yang dilakukan sama ada oleh individu mahupun pengusaha ladang,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau terus mengingatkan pemilik tanah persendirian untuk memantau tanah-tanah terbiar milik mereka atau syarikat mereka supaya tidak menjalankan aktiviti pembakaran terbuka dalam tempoh ini kerana larangan masih dikuatkuasakan.

Syarikat dan individu yang melakukan pembakaran terbuka boleh didakwa di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang boleh dikompaun sehingga RM2,000 dan jika dihadap ke mahkamah boleh didenda sehingga RM500,000, jika didapati bersalah.

Sementara itu, keadaan berjerebu masih lagi menyelubungi kawasan sekitar Permyjaya hingga ke Kuala Baram, pada pagi semalam, namun Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sini masih mencatat bacaan pada tahap yang baik iaitu di bawah 41 sehingga jam 2 petang semalam.

Advertisement