Anda di sini

Bomba Sarawak mahu anggota, pegawai cergas dan berkeupayaan tinggi

Advertisement

TAHNIAH: Mahadi (tengah) menyampaikan sijil perkhidmatan cemerlang kepada salah seorang penerima sambil disaksikan oleh Nor Hisham (kiri).

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak menyasar mencapai kelulusan Individual Physical Proficiency Test (IPPT) sekurang-kurangnya 50 peratus pada tahun ini bagi memastikan setiap anggota dan pegawainya cergas serta berkeupayaan tinggi dalam menjalankan tugas menyelamat.

Sehubungan itu, Pengarahnya Nor Hisham Mohammad berkata pihaknya telah mengambil inisiatif melaksanakan IPPT pada setiap bulan walaupun ia hanya ditetapkan dua kali setahun.

Namun demikian, jelas beliau keputusan tetap ujian berkenaan cuma akan diambil bagi Januari dan Jun.

“Kami mahu memastikan setiap anggota cergas dan tegap untuk menyelamatkan orang sejajar dengan pelaksanaan IPPT.

“Sebab itu, kami menetapkan untuk melaksanakan IPPT secara mandatori setiap bulan iaitu melibatkan setiap 1,160 anggota dan pegawai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013 Bomba Sarawak yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Bomba Malaysia Datuk Mahadi Md Ali di sini, semalam.

Terdahulu, Mahadi berkata Perintah Tetap Ketua Pengarah Bil.2/2014 – IPPT telah dikeluarkan untuk memastikan semua warga jabatan mempunyai tahap kecergasan yang tinggi dan bentuk badan yang ideal di samping membudayakan gaya hidup sihat.

“Pihak pengurusan jabatan amat memandang serius aspek berkenaan di mana keputusan IPPT ini akan menjadi salah satu kriteria yang akan dinilai dalam prestasi tahunan dan dalam proses kenaikan pangkat,” katanya.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata pihaknya telah mula melaksanakan IPPT sejak Januari lalu di mana Bomba Sarawak telah mencapai peratusan kelulusan ketiga tertinggi di seluruh negara.

Bagaimanapun, katanya peratusan kelulusan yang dicapai tersebut adalah masih rendah iaitu 43 peratus.

“Bagi keputusan pada Jun nanti, kami meletakkan sasaran kelulusan IPPT minimum 50 peratus bagi setiap balai,” katanya.

Menurut Nor Hisham, antara kriteria IPPT ialah setiap anggota dan pegawai harus lulus ujian larian sejauh 2.4 kilometer, mempunyai Jisim Indeks Tubuh (BMI) di bawah 30 dan sebagainya.

“Paling penting ialah setiap anggota dan pegawai harus lulus ujian larian kerana sekiranya gagal ujian larian tetapi lulus pada kriteria lain, maka mereka akan gagal sepenuhnya dan perlu mengulangi ujian semula.

“Namun demikian, kami ada menjalankan kursus khas untuk memastikan mereka ini lulus,” katanya.

Sementara, Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013 Bomba Sarawak menyaksikan seramai 32 pegawai dianugerahkan Pingat Kebesaran Jabatan dan 94 pegawai lagi dipilih untuk Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013.

Manakala, Balai Bomba Lopeng, Balai Bomba Batu Lintang dan Balai Bomba Bau masing-masing menduduki tempat pertama, kedua dan ketiga dalam Pertandingan Balai Terbaik bagi kategori A dan B.

Setiap pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, RM750, RM500 berserta sijil.

Bagi kategori C, pemenang pertama dinobatkan kepada Balai Bomba Lawas manakala tempat kedua dan ketiga diduduki oleh Balai Bomba Kanowit dan Balai Bomba Kapit.

Setiap pemenang turut membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, RM750, RM500 berserta sijil.

Advertisement