Anda di sini

Beri perhatian khusus terhadap alam sekitar, kata Lee

Advertisement

MIRI: Jurutera digesa memberi perhatian khusus dengan menyeimbangkan antara projek dan aspek-aspek alam sekitar ketika melaksanakan projek-projek kejuruteraan.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata, beberapa tahun lalu, 15 peratus sisa buangan adalah bahan buangan pembinaan tetapi masalah tersebut semakin berkurangan sekarang.

Bagaimanapun, masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan khasnya daripada aspek pengurusan dan kebersihan.

“Pada masa kini, banyak pemaju perumahan melakukan pemasangan bahan-bahan siap (dari kilang) di tapak pembinaan dan dengan cara itu dapat menjimatkan tenaga serta mengurangkan jumlah pembaziran pembinaan.

“Ini adalah cara bagaimana kita harus menguruskan tapak pembinaan agar pelaksanaan projek dengan efiseen dan berkesan,” katanya pada Majlis Makan Malam Anugerah Keahlian Kehormat Institut Jurutera Malaysia (IEM) Miri malam kelmarin.

Selain itu, Lee berkata warga jurutera juga harus berusaha membantu industri pembinaan membangunkan sistem pengurusan yang lebih baik terutama dalam mengekalkan keseimbangan projek dan alam sekitar.

“Penjimatan tenaga, pengurusan mesra alam dan bangunan hijau adalah sesuatu yang bukan luar biasa dalam industri pembinaan pada zaman moden ini.

“Justeru, jurutera di sini diberi cabaran untuk mengambil peluang ini untuk meningkatkan industri pembinaan Miri termasuk kitar semula bahan,” katanya.

Pada majlis tersebut, Pengerusi Eksekutif Miri Housing Development Sdn Bhd Datuk Lau Siu Wai menerima Anugerah Keahlian Kehormat daripada IEM.

Hadir sama Presiden IEM Choo Kok Beng dan Pengerusi IEM Miri Steven Chin Hui Seng.

Advertisement