Anda di sini

25 kampung masih tunggu bekalan air dijanjikan

Advertisement

Penduduk di Krokong, sekitar Jagoi, Bau dijanjikan bekalan air terawat pada Disember 2013

KUCHING: Sekurang-kurangnya 25 kampung di Krokong dan sekitar Jagoi, Bau telah dijanjikan paip untuk bekalan air terawat pada Disember tahun lalu namun sehingga hari ini, mereka masih menunggu.

Menurut aktivis Boniface Willy Tumek, keadaan itu menyebabkan para penduduk kampung berkenaan terus bergantung kepada air daripada sistem graviti yang bekalannya adalah tidak menentu di mana akan kering pada musim panas dan tersumbat ketika hujan.

“Dr Jerip (ADUN Bengoh) pada penghujung tahun lepas menyatakan sistem bekalan air terawat sedang dilaksanakan di Krokong dan kawasan Jagoi.

“Bagaimanapun, penduduk daripada 25 kampung tersebut sehingga hari ini masih menunggu untuk menikmati bekalan air terawat yang telah dijanjikan,” katanya.

Dalam pada itu, Boniface yang juga AJK PKR Negeri Cabang Mas Gading menjelaskan bahawa sumber daripada JKR telah menyatakan bahawa sistem penyampaian yang merangkumi paip utama, dua stesen pam penggalak dan tiga tangki paras tinggi telah dilaksanakan dan jabatan sedang menunggu untuk kontraktor menyerahkan projek berkenaan kepada mereka.

Bagaimanapun, katanya kontraktor berkenaan masih belum melengkapkan ujian kebocoran dan kekuatan untuk tangki paras tinggi selain pembersihan paip utama juga belum dimulakan.

“Memandangkan proses ini juga perlu mendapatkan kelulusan sampel air daripada Jabatan Kimia, maka penduduk di 25 kampung ini masih perlu menunggu dalam tempoh agak lama untuk mendapatkan bekalan air mereka,” katanya.

Justeru, Boniface menyeru JKR dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat agar memastikan kontraktor melengkapkan semua kerja yang belum dilakukan agar projek berkenaan dapat diserahkan kepada JKR secepat mungkin.

“Para penduduk telah menunggu lama untuk mendapatkan bekalan air ini dan mereka berharap isu ini akan cepat diselesaikan melalui campur tangan wakil rakyat mereka,” katanya.

Advertisement