Anda di sini

Ngap Sayot berjaya sekat pasukan berstatus bintang

Advertisement

KUCHING: Skuad Ngap Sayot melakarkan keputusan seri pertama pada saingan Liga Super 2014 selepas mengikat Johor Darul Takzim (JDT) 1-1 di Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunos, Johor malam kelmarin.

Sebelum perlawanan bermula, Sarawak dilihat menghadapi misi mustahil untuk mencuri mata memandangkan lawan yang ditentang merupakan pasukan ‘glamor’ yang menghimpunkan sebahagian besar pemain kebangsaan dan berstatus bintang.

Sebaliknya, Sarawak terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah dengan jaringan cantik dari luar kotak penalti menerusi S Chanthuru pada minit ke-16.

JDT yang tersentak dengan jaringan itu merangka serangan menerusi bekas penyerang kebangsaan, Argentina Luciano Figueroa namun berjaya dipatahkan benteng pertahanan Sarawak yang diterajui Gabor Gyepes.

Usaha berterusan JDT menyamakan kedudukan berhasil pada minit ke- 26 selepas Luciano berjaya melepasi perangkap ‘offsaid’ sekali gus mudah menewaskan Sani Anuar Kamsani.

Separuh masa pertama turut menyaksikan penjaga gol tuan rumah, Izham Tarmizi terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan selepas bertembung dengan Mohd Rashid Aya.

Bermula babak kedua, JDT merancang serangan bertali arus untuk menjaringkan gol kemenangan termasuk membawa masuk Pablo Aimar namun gagal merobek gawang Sarawak.

Perlawanan agak seimbang pada separuh masa kedua dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan.

Keputusan itu meletakkan Sarawak kekal di tangga ketujuh liga selepas mengumpul 13 mata.

Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata sepatutnya Sarawak boleh menang dalam perlawanan itu namun beberapa peluang terhidang tidak dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

“Namun sesuatu yang positif dalam perlawanan ini apabila kita berjaya mencuri satu mata dari gelanggang lawan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau turut memuji aksi anak-anak buahnya yang tidak gugup biarpun menentang pasukan yang dibarisi pemain berpengalaman.

“Pemain berjaya menyerap tekanan biarpun beraksi menentang pasukan yang dibarisi pemain-pemain penuh berpengalaman selain beraksi di hadapan penyokong tuan rumah,” katanya.

Perlawanan seterusnya menyaksikan Sarawak menantikan kunjungan Terengganu di laman sendiri, Stadium Negeri Kuching pada 4 April depan.

 

Advertisement