Anda di sini

MH370: Hubungan perdagangan Malaysia-China terus mantap

Advertisement

MELAKA: Malaysia yakin hubungan pelaburan dan perdagangan dengan negara China akan terus mantap walaupun terdapat perasaan tidak puas hati rakyat negara itu berhubung tragedi pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan China memahami situasi sukar dialami Malaysia dalam menjalankan usaha mencari pesawat yang hilang sejak 8 Mac lepas.

“Kerajaan China memahami keadaan ini dan mereka berterima kasih dengan segala usaha dilakukan Malaysia dalam mencari pesawat ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam UMNO bahagian Jeli bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron di Seri Bendahara di sini.

Beliau berkata keyakinan itu juga bersandarkan kepada hubungan diplomatik Malaysia-China yang telah terjalin sejak 40 tahun lepas.

Katanya kementerian setakat ini belum melihat sebarang tanda kemerosotan aktiviti pelaburan dan perdagangan melibatkan China di negara ini.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. — Bernama

Advertisement