Anda di sini

Kaunselor bakal lawat ke rumah anggota keluarga penumpang, KRU

Advertisement

PUTRAJAYA: Kaunselor dari Pasukan Intervensi Krisis Malaysia (MCIT) akan berkunjung ke rumah anggota keluarga penumpang dan kru pesawat MH370 untuk terus memberi bimbingan dan perkhidmatan kaunseling kepada mereka bagi menghadapi saat-saat sukar ini.

Timbalan Pengerusi Pasukan Intervensi Krisis Malaysia (MCIT) Dr Abdul Jalil Hassan berkata fasa baharu perkhidmatan kaunseling itu akan bermula dalam tempoh terdekat.

Selain itu, beliau berkata anggota keluarga juga boleh menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat di seluruh negara agar kaunselor boleh berkunjung ke rumah mereka yang memerlukan perkhidmatan kaunseling.

“Sudah tidak ramai anggota keluarga penumpang dan kru pesawat MH370 yang menginap di hotel. Mereka sudah pulang ke rumah untuk menjalani kehidupan biasa.

“Sehubungan itu, kita memasuki fasa baharu di mana MCIT akan membuat lawatan ke rumah untuk terus memberi bimbingan dan sokongan,” katanya kepada pemberita di Hotel Everly di sini semalam.

Dr Abdul Jalil berkata kini hanya lima keluarga yang masih menginap di Hotel Everly.

Mengulas pertemuan anggota keluarga penumpang MH370 dengan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam, beliau berkata langkah itu memberi kesan langsung kepada mereka yang berkenaan.

“Kita gembira dengan strategi yang digunakan. Anggota keluargapun berpuas hati walaupun bukan semua soalan dijawab,” katanya.

Beliau juga berkata kesemua anggota keluarga penumpang dari Malaysia dalam keadaan baik dan stabil walaupun pesawat MH370 hilang sejak 23 hari yang lalu. — Bernama

Advertisement