Anda di sini

Skuad wushu Sarawak sasar rangkul dua pingat emas

Advertisement

KUCHING: Skuad wushu Sarawak hanya mensasarkan dua pingat emas dalam acara tersebut pada SUKMA XVII di Dewan Rakan Sukan, Kompleks Sukan Perlis pada 1 hingga 3 Jun depan.

Timbalan Presiden Persekutuan Wushu Sarawak (WFS), James Ting berkata ini kerana atlet-atlet wushu negeri bakal berdepan cabaran sengit dengan ramai peserta kebangsaan.

“Atlet-atlet kita akan berdepan cabaran sengit daripada peserta kebangsaan yang mewakili negeri-negeri lain seperti Melaka, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang,” katanya di sini semalam.

Setiap atlet kebangsaan hanya dibenarkan mengambil bahagian dalam dua acara sahaja manakala Sarawak hanya menghantar seorang wakil kebangsaan, Audrey Chan.

Tiga lagi atlet kebangsaan Sarawak Loh Jack Chang, Gjeblehem Bong dan Diana Bong sudah terlebih umur.

“Bagaimanapun, kita masih berkelebihan kerana peserta kebangsaan pasti berasa tertekan ketika bersaing dengan atlet kita yang rata-ratanya masih baharu,” katanya.

Sarawak meletakkan sandaran di bahu Andy Chan dan Amelia Su untuk merangkul emas.

Andy menggondol dua emas manakala Amelia sebutir emas pada SUKMA XV di Pahang dua tahun lalu.

Pada masa sama, Ting turut berharat atlet senior seperti Liew Lik Kee dan Audrey Chan dapat memperbaiki prestasi mereka di Perlis nanti.

“Saya juga berharap atlet baharu Elvic Bong, Clement Thian dan Clement Ting mampu memberi kejutan pada temasya SUKMA kali ini,” tambahnya.

“Kita hanya menyenaraikan empat atlet SUKMA lalu dan ini pastinya sebagai pendedahan dan persediaan terbaik bagi atlet-atlet muda untuk menyinar pada SUKMA 2016 nanti,” katanya.

Sementara itu, Audrey Chan dan Farold Tan akan menjalani latihan di China dan Audrey akan mengikuti skuad kebangsaan manakala Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) menanggung kos perbelanjaan Farold.

“Dua lagi atlet yang berpotensi menyumbang emas tidak dapat menyertai latihan tersebut kerana masalah yang tidak dapat dielakkan,” tambahnya.

Sarawak muncul juara keseluruhan dalam acara wushu pada SUKMA 2012 di Pahang dengan merangkul tujuh emas, tujuh perak dan tiga gangsa.

Advertisement