Anda di sini

Sarawak hantar pasukan terkuat Kejohanan Sopma

Advertisement

KUCHING: Sarawak akan menghantar pasukan terkuat dengan seramai 65 peserta pada Kejohanan Sopma (Sukan Orang Pekak Malaysia) Ke-18 yang berlangsung di Melaka pada 13 hingga 20 Jun depan.

Timbalan Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak, Choo Lian Sin yang juga setiausaha Sopma Sarawak berkata ini merupakan kali kedua kontinjen Sarawak menyertai kejohanan yang diadakan dua tahun sekali itu.

“Kita mensasarkan tiga tempat teratas pada kejohanan Sopma kali ini. Pada 2012, kontinjen kita berjaya merangkul tiga emas dan empat perak untuk menduduki tempat keempat,” katanya ditemui pada taklimat kejohanan tersebut kepada Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin di sini kelmarin.

Choo dan wakil Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak, Albert Wong antara enam delegasi mengadakan kunjungan hormat kepada Lee yang juga Menteri Muda Komunikasi.

Menurutnya, kontinjen Sarawak akan menyertai lima daripada tujuh acara dipertandingkan iaitu badminton, 10 pin boling, olahraga, futsal dan boling padang.

Manakala acara tidak disertai bola sepak dan bola jaring.

Choo menambah, kebanyakan atlet dipilih adalah pelajar sekolah terutamanya dalam acara olahraga.

“Untuk makluman, Sarawak juga terpilih sebagai tuan rumah Sopma pada 2016,” tambahnya.

Sopma merupakan landasan bagi atlet orang pekak menyertai kejohanan peringkat tinggi seperti Sukan Orang Pekak Aisa Pasifik di Taiwan pada 2015 dan Olimpik Orang Pekak di Turki pada 2017 kelak.

Terdapat seramai 140 pelajar pekak dari sekolah rendah, manakala 160 sekolah menengah seluruh Sarawak.

Selain Sopma, Sarawak juga akan menyertai Sukan Kumuniti Pekak Malaysia.

Advertisement