Anda di sini

Musa: Malaysia terus bantu pembangunan Bangsamoro

Advertisement

PUTRAJAYA: Malaysia akan terus memain peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi Bangsamoro yang menyaksikan pembentukan satu wilayah autonomi baharu, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Musa berkata Malaysia membantu dalam pembangunan kemahiran dan mewujudkan peluang ekonomi di selatan Filipina (Mindanao) yang didiami Bangsamoro, termasuk dalam bidang pertanian dan pendidikan.

“Kalau peranan Malaysia masih diperlukan, saya percaya Perdana Menteri tidak ragu-ragu akan memberi kerjasama dan sokongan seperti apa yang beliau berikan pada ketika ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima Ijazah Doktor Kehormat Universiti Binary, daripada Tengku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah yang juga Canselor universiti itu di sini semalam.

Anugerah itu atas pencapaian Musa dalam bidang keusahawanan.

Musa mengulas perjanjian damai yang ditandatangani Khamis lepas (27 Mac) antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Manila disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Filipina, Benigno Aquino III.

Perjanjian bersejarah itu bertujuan mewujudkan entiti politik pemerintahan sendiri dikenali sebagai Bangsamoro yang akan mempunyai kuasa politik dan ekonomi yang lebih besar.

Malaysia adalah pemudahcara kepada rundingan damai antara kerajaan Filipina dan MILF dan telah mengetuai pasukan Pemantauan Antarabangsa.

Rundingan itu yang bermula pada 1997, bertujuan menamatkan pemberontakan di wilayah selatan Filipina sejak tahun 1970an, yang sehingga kini sudah meragut lebih 100,000 nyawa.

Musa juga yakin perjanjian itu juga akan menyelesaikan masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin dari wilayah bergolak itu ke Sabah selepas ini.

“Dengan adanya perjanjian ini kita berharap sangat keadaan stabil dan aman terus kekal di wilayah itu.

“Jika tiada permusuhan, persengketaan atau huru hara di situ, maka tiada lagi orang dari situ memasuki Sabah secara tidak sah,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan di KOTA KINABALU, Musa berkata beliau yakin perjanjian itu bakal membuka lembaran baru ke arah penyelesaian politik di Mindanao.

“Sebagai negara jiran dan negeri paling hampir, kita menyambut baik dan gembira dengan perkembangan ini.

“Tahniah kepada kerajaan Malaysia yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang be peranan sebagai ‘orang tengah’ (antara) kerajaan Filipina dan MILF,” katanya. — Bernama

Advertisement