Anda di sini

MH370: SAR tetap diteruskan

Advertisement

Jaminan kepada keluarga penumpang: Hishammuddin

PUTRAJAYA: Penerusan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan penambahbaikan penyaluran maklumat terkini adalah antara tiga perkara utama dituntut anggota keluarga penumpang pesawat itu.

Perkara itu dikemukakan anggota keluarga penumpang tempatan dan dari China semasa mengadakan pertemuan kira-kira sejam setengah dengan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin TunHussein di Everly Hotel di sini semalam.

Merumuskan pertemuan tertutup yang berlangsung tanpa insiden itu dalam sidang media selepas itu, Hishammuddin berkata beliau memberi jaminan kepada anggota keluarga penumpang bahawa SAR akan diteruskan.

“Usaha SAR tidak akan putus dan berterusan, itu jaminan saya memandangkan usaha ini juga adalah (melibatkan) 26 negara lain,” katanya.

Beliau berkata anggota keluarga meminta operasi SAR tetap diteruskan tidak kira betapa “terpencil dan sukarnya”.

Mereka juga meminta komunikasi antara keluarga dengan pihak MAS ditambah baik bagi memastikan mereka sentiasa diberikan maklumat terkini, katanya.

“Bagi memastikan saluran komunikasi antara MAS dan anggota keluarga adalah lebih lancar dan lebih sensitif terhadap apa yang sedang mereka lalui,” katanya.

Hishammuddin berkata beliau juga menyatakan komitmen untuk meneruskan SAR walaupun peluang agak tipis namun sentiasa berdoa dan berusaha untuk mengesan mereka yang berkemungkinan masih selamat.

“Inilah yang diminta anggota keluarga dan saya fikir permintaan ini adalah munasabah. Saya telah katakan sejak awal lagi bahawa peluang adalah tipis untuk mereka selamat, namun kami akan berusaha lakukan apa yang terdaya,” katanya.

Beliau berkata operasi SAR menumpukan kepada enam petunjuk tetapi masih belum menerima laporan sama ada sebarang serpihan telah berjaya diambil.

“Selain daripada ini, saya tidak boleh memberikan harapan palsu kepada mereka, langkah terbaik yang kami dapat lakukan adalah berdoa dan sensitif dengan keadaan mereka,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana anggota keluarga berdepan dengan situasi itu semasa perjumpaan itu, Hishammuddin berkata beliau dapat melihat ‘sinar harapan terpancar di mata mereka’.

Menyifatkan perjumpaan dengan anggota keluarga berkenaan merupakan tugas paling sukar bagi dirinya sebagai menteri bertanggungjawab mengendalikan insiden itu, katanya sementara beliau memberikan jaminan dan semangat kepada anggota keluarga berkenaan, perjumpaan itu turut memberikan kekuatan kepadanya untuk meneruskan komitmennya.

“Jika berlaku keajaiban, tipis atau sebaliknya, inilah harapan anggota keluarga yang mereka mahu saya sampaikan, bukan sahaja kepada kerajaan Malaysia,  MAS tetapi ke seluruh dunia,” katanya. — Bernama

Advertisement