Anda di sini

Mercedes AMG di hadapan

Advertisement

ROSAK TERUK: Keadaan kereta pasukan Caterham yang dipandu oleh Ericsson rosak teruk akibat kemalangan semasa sesi kelayakan di Litar Antarabangsa Sepang, Kuala Lumpur. — Gambar Reuters

LEWIS HAMILTON

Hamilton duduki petak pertama, pasukan tempatan akur di petak belakang

SEPANG: Pemandu Mercedes AMG Petronas Formula One (F1) Team, Lewis Hamilton dari Britain menduduki petak pertama pada Grand Prix F1 Malaysia.

Hamilton mencatat masa terpantas satu minit 59.431 saat pada sesi kelayakan di Litar Sepang semalam.

Ini merupakan kejayaan kedua meraih petak pertama pada musim ini selepas menjuarai Grand Prix Australia dua minggu lalu.

Merapatinya di belakang dengan perbezaan masa 0.055 saat ialah pemandu pasukan Redbull, Sebastian Vettel dari Jerman.

Rakan sepasukan Hamilton, Nico Rosberg menduduki tempat ketiga dengan catatan 2:00.050s.

Sementara itu, pasukan F1 tempatan Caterham F1 Team mempamerkan persembahan tidak bermaya di laman sendiri dalam Grand Prix F1 Malaysia Petronas 2014 di Litar Sepang.

Pemandu Caterham F1 Team, Marcus Ericsson terpaksa memulakan perlumbaan dari grid paling belakang selepas keretanya mengalami nahas setelah terbabas dalam sesi kelayakan pertama (Q1).

“Saya buat kesilapan dalam sektor satu dan mengalami kemalangan. Hujan bermula sebelum sesi kelayakan dan kami sertai sesi yang ditangguhkan waktuitu dengan menyedari bahawa terpaksa memecut di trek basah. Itulah kali pertama saya memandu di trek basah dalam perlumbaan F1.

“Jadi, sejak pusingan pertama lagi, ia merupakan pengalaman baharu bagi saya. Dalam setiap pusingan, saya memperoleh pelajaran baharu,” katanya.

Pemandu dari Sweden ini berkata dia kasihan kepada pasukannya kerana terpaksa bekerja keras pada hujung minggu untuk mengatasi masalah kereta dan kini mereka mempunyai satu lagi tugas berat untuk menyiapkan kereta berkenaan untuk perlumbaan hari ini.

Pemandu itu berkata musim ini memberi banyak pengajaran kepadanya sebagai muka baharu dalam F1, tetapi yakin akan dapat kembali memberi saingan hari ini.

Sementara itu, rakan sepasukannya Kamui Kobayashi, yang menduduki tempat ke-20, berkata dia ingin memberi fokus terhadap perlumbaan hari ini dan berharap dia dan Ericsson dapat berlumba hingga ke garisan penamat.

“Kalau hujan lagi seperti hari ini (semalam), apa sahaja boleh terjadi,” katanya. — Bernama

Advertisement