Anda di sini

Jabatan Imigresen pertingkat sistem pangkalan data: Sakib

Advertisement

JASIN: Jabatan Imigresen akan mempertingkatkan kapasiti sistem pangkalan datanya bagi mengesan penggunaan pasport yang dilaporkan hilang dan dicuri di seluruh dunia.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan) Datuk Sakib Kusmi berkata sistem pangkalan data sedia ada tidak berupaya menyimpan data yang terlalu besar khususnya maklumat Interpol mengenai 40.2 juta kes kehilangan pasport.

“Walaupun kita tidak menggunakan pangkalan data Interpol secara langsung, namun sekiranya kita memerlukan sesuatu rujukan berhubung kehilangan pasport atau jenayah, kita akan terus berhubung dengan Polis Diraja Malaysia yang menggunakan pangkalan data Interpol,” katanya.

Sakib berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil tamat latihan kursus kelayakan anggota Grup Taktikal Khas (GTK) siri 1/2014 kepada 70 anggota di Kem Saujana Asahan di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Interpol yang mengkritik Jabatan Imigresen kerana gagal memeriksa pasport penumpang pesawat MH370 dari pangkalan datanya.

Dua lelaki warganegara Iran dikenal pasti menggunakan pasport kepunyaan warga Austria dan Itali sebelum menaiki pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas.

Bagaimanapun Sakib berkata Jabatan Imigresen sentiasa mengemas kini maklumat kehilangan pasport di dalam sistem pangkalan datanya sekiranya menerima laporan dari negara-negara terlibat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Jabatan Imigresen menyasar menghasilkan seramai 2,400 anggota GTK yang berupaya menangani pelbagai isu di lapangan termasuk rusuhan warganegara asing di depoh tahanan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata GTK juga akan diwujudkan di setiap Jabatan Imigresen di seluruh negara secara berperingkat selepas kejayaan projek perintis di Melaka dan Negeri Sembilan.

Terdahulu, Sakib turut menyempurnakan pemakaian beret dan penganugerahan pisau GTK kepada 20 anggota cemerlang kursus selama 14 hari bermula 16 Mac lepas. — Bernama

Advertisement